ASEAN perlu bincang kerjasama baharu pertahanan Australia

ASEAN perlu bincang kerjasama baharu pertahanan Australia

Bekas felo di Pusat Kajian Kemajuan Sosial Lam Choong Wah berkata semua menteri pertahanan negara-negara itu harus dipanggil bagi membincangkan perkembangan terbaharu itu.

Penganalisis berpendapat Malaysia harus mewujudkan zon neutral ASEAN yang melarang penggunaan kapal selam berkuasa nuklear di rantau ini. (Gambar Tentera Laut AS)
PETALING JAYA:
Malaysia harus melakukan usaha libat urus dengan negara-negara ASEAN lain, khususnya Indonesia untuk bersama-sama menyuarakan pandangan mereka terhadap kerjasama keselamatan tiga hala “Aukus” antara Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AS), kata pakar pertahanan.

Bekas felo di Pusat Kajian Kemajuan Sosial Lam Choong Wah, memberitahu FMT, semua menteri pertahanan negara-negara itu harus dipanggil menghadiri mesyuarat segera bagi membincangkan perkembangan terbaharu itu.

“Indonesia turut menyuarakan kebimbangan mereka mengenai perkara ini. Kita harus menggunakan kaedah pelbagai hala untuk menanganinya. Malaysia juga boleh meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa mengadakan perbincangan,”katanya.

Ahli-ahli Parlimen juga harus mewujudkan sebuah kumpulan dwi-partisan untuk memantau perkembangan selepas Australia mengumumkan rancangannya untuk membeli kapal selam berkuasa nuklear sebagai sebahagian daripada kerjasama baharu bersama sekutunya dalam bidang pertahanan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kegusaran Malaysia terhadap perkara itu menerusi panggilan telefon bersama Perdana Menteri Australia Scott Morrison semalam, yang memaklumkan bahawa ia boleh mencetuskan persaingan senjata nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Lam berkata Malaysia harus mewujudkan zon neutral ASEAN yang melarang penggunaan kapal selam berkuasa nuklear di rantau ini.

Katanya, setakat ini Malaysia belum pernah mengisytiharkan larangan terhadap kapal selam berkuasa nuklear.

“Malaysia sebenarnya kerap mengadakan latihan ketenteraan membabitkan kapal induk berkuasa nuklear AS dan kapal selam berkuasa nuklear Royal Navy,” katanya.

Bekas timbalan menteri pertahanan Liew Ching Tong yang menganggotai Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (PH), berkata pengisytiharan jelas oleh Malaysia amat penting demi keamanan di rantau ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.