Tarik diri ‘tanding’ Timbalan Speaker, Puad beritahu Ahmad Maslan

Tarik diri ‘tanding’ Timbalan Speaker, Puad beritahu Ahmad Maslan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, Ahli Parlimen Bersatu mungkin kekal tidak menyokong Ahmad.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata tiada jaminan Ahli Parlimen Pakatan Harapan akan menyokong Ahmad Maslan walaupun pembangkang akan diberikan satu kuota jawatan Timbalan Speaker.
PETALING JAYA:
Ahmad Maslan wajar menarik diri sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Puad berkata, beliau dimaklumkan nama Ahmad dicadangkan oleh Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Namun, katanya Ahli Parlimen Bersatu berkemungkinan tidak menyokong pencalonan itu.

“Ahmad Maslan wajar tarik diri dan batal hasrat ‘tanding’ jawatan Timbalan Speaker pada bulan Oktober nanti,” kata Puad di Facebook.

Beliau mendakwa, pengundian minggu lalu untuk memilih Timbalan Speaker ditangguhkan kerana sokongan untuk Ahmad daripada wakil rakyat Bersatu “tidak solid”.

Kalangan mereka melihat Ahmad sebagai antara pemimpin Umno yang  tidak menyokong presiden parti itu, Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

“Ada komen penyokong Bersatu, ‘Kalau kau tidak sokong, kenapa kami kena sokong?’,” katanya.

Malah, Puad berkata tiada jaminan ahli Parlimen Pakatan Harapan akan menyokong Ahmad walaupun pembangkang akan diberikan satu kuota jawatan Timbalan Speaker.

“Apakah itu kosmetik? Sebab itu lebih baik tarik diri dan jauhkan diri daripada politik kosmetik,” katanya.

Jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat kosong apabila Azalina Othman Said meletak jawatan selepas Muhyiddin berundur sebagai Perdana Menteri setelah 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau.

Selain Ahmad, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, daripada DAP turut dicalonkan untuk jawatan Timbalan Speaker oleh blok pembangkang.

Undian sepatutnya dibuat Selasa lalu namun pada petang itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan pengundian ditangguhkan hingga sesi akan datang.

Wan Junaidi berkata, penangguhan itu dibuat bagi meminda Perlembagaan untuk memperuntukan pemilihan tiga Timbalan Speaker bagi Dewan Rakyat, berbanding dua ketika ini.

Satu daripada kekosongan jawatan itu dijangka diisi oleh wakil pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.