
Ucapan jutaan terima kasih itu dikongsikan menerusi ciapan di laman Twitternya.
“Saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Yayasan Lee Chong Wei atas sumbangan menaik taraf Unit Kecemasan Hospital Bukit Mertajam.
“Semoga ianya dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk semua penduduk setempat dan sekitarnya,” katanya.
Bekas jaguh badminton negara itu semalam dilaporkan menyumbang sebanyak RM243,000 bagi menambah 32 katil di Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk merawat pesakit Covid-19.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menjadikan Hospital Bukit Mertajam sebagai hospital hibrid Covid-19 susulan peningkatan kes wabak tersebut yang memerlukan rawatan.
Terdapat 72 katil dengan paip oksigen yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 selain bilangan katil boleh ditingkatkan sehingga 120 katil jika keperluan bertambah.
Hospital itu juga dapat menerima pesakit hemodialisis yang dijangkiti Covid-19 memandangkan ia dilengkapi dengan kemudahan hemodialisis di katilnya.
Dalam pada itu, rata-rata pengguna laman Twitter turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Chong Wei di atas sumbangan diberikan dalam usaha menentang Covid-19.