
Bagaimanapun, beliau berkata kos sebenar bagi mengerjakan haji belum diputuskan dan akan dibincangkan yang diharap tidak membebankan bakal haji.
Katanya kemungkinan peningkatan kos agak munasabah berdasarkan situasi semasa, namun percaya subsidi oleh kerajaan akan diteruskan.
“Dulu kos haji kira-kira RM24,000 tetapi kerajaan hanya mengutip sekitar RM9,980 dan selebihnya kerajaan tanggung.
“Sekarang kos meningkat terutamanya pada pascapandemik (Covid-19) dengan perbelanjaan di luar negara juga meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Baharu Institut Pengajian Tinggi Parlimen Pengkalan Chepa, di sini.
Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, berkata kerajaan memperuntukkan antara RM400 juta dan RM500 juta bagi subsidi haji, tetapi kini perlu melihat situasi semasa.
“Biasanya bila hampir tiba musim haji akan keluar kos sebenar dan jemaah akan dimaklum lebih awal.
“Kita juga tahu kos haji sejak sekian lama tidak dinaikkan kerana waktu itu berdasarkan kepada kemampuan serta kedudukan kewangan kerajaan. Sekarang situasi ekonomi sudah berubah malah perbelanjaan di Arab Saudi juga meningkat,” katanya.