
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ujian itu terbukti bermanfaat apabila lima individu yang positif Covid-19 berjaya dikesan sebelum tiba ke pulau ini, semalam.
“Ujian pengesanan itu sangat memberi kesan dan bermanfaat, ujian pengesanan Covid-19 sebelum datang (ke Langkawi) itu saya rasa membuktikan bahawa ada keperluan sebab ada kes positif kategori satu yang tidak ada gejala.
Kita sudah buat persiapan di sini (untuk menyambut ketibaan pelancong), tapi bila swab test (ujian calitan) pelancong itu positif, jadi itu agak malang untuk mereka,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengunjungi Pantai Chenang di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lima individu didapati positif Covid-19 selepas menjalani saringan sebelum berlepas melalui jalan udara dan laut ke Langkawi.
Kesemua kes positif itu adalah kategori satu iaitu tidak bergejala.
Sanusi berkata ujian pengesanan itu wajar diteruskan ke atas semua pelancong yang ingin ke Langkawi bagi mengelakkan sebarang risiko penularan kes Covid-19 di pulau ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin ke Langkawi membuat ujian pengesanan Covid-19 lebih awal menerusi RT-PCR (PCR) dan RTK Antigen (RTK-Ag) bagi mengelakkan kesesakan di pintu-pintu masuk ke Langkawi.
Mengulas mengenai perkembangan projek rintis gelembung pelancongan di pulau ini, Sanusi berkata setakat ini semua berjalan lancar dan pematuhan prosedur operasi standard oleh pelancong sangat memuaskan.
“Reaksi orang ramai terutama orang Langkawi cukup seronok, muka pun dah naik ceria, mereka menantikan saat ini, saya harap orang yang datang ke sini dapat jaga SOP untuk faedah kita melancong dan faedah orang Langkawi, saya harap benda ini kekal,” katanya.