Sewa banglo RM2,000 sehari anjur parti arak, dadah, 14 ditahan

Sewa banglo RM2,000 sehari anjur parti arak, dadah, 14 ditahan

Polis berkata ketika serbuan individu terbabit didapati sedang berhibur dengan alunan muzik kuat.

Suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan berusia 20 hingga 41 tahun ditahan pada 2.30 pagi di sebuah banglo di kawasan perumahan elit di Taman Perling, Johor Bahru.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki menyewa sebuah banglo dengan bayaran RM2,000 sehari di kawasan perumahan elit di Taman Perling, Johor Bahru untuk mengadakan parti liar bersama 13 individu malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Rupiah Abd Wahid berkata, ketika serbuan sekumpulan individu didapati sedang berhibur dengan alunan muzik kuat berserta jamuan minuman keras dan pelbagai jenis dadah.

Katanya, suspek tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan berusia 20 hingga 41 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi.

“Semasa serbuan tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan sedang berhibur di ruang tamu dengan muzik kuat serta hidangan minuman keras.

“Hasil serbuan itu, polis menjumpai sejumlah dadah jenis ganja, ketamin dan ekstasi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas semua tangkapan mendapati lima lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, salah seorang daripada lelaki yang turut ditangkap sebagai penganjur majlis itu dikenakan kompaun RM2,000.

“Manakala semua individu lain dikompaun RM1,500 kerana mengingkari SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1,” katanya.

Semua 14 individu terbabit direman empat hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.