
Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili bekas Perdana Menteri itu dan Nazifuddin, berkata prosiding pendengaran tersebut akan dikendali melalui aplikasi Zoom.
“Kami memohon penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu sementara menunggu kebenaran bagi merayu ke Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada Bernama.
Perkara itu disebut semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mariam Hasanah Othman.
Wee menghadiri prosiding itu, manakala Peguam Kanan Hasil, Muhammad Nabil Abdul Halim dan Siti Aisyah Yusoff @ Md Nasir mewakili LHDN.
Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin.
Pada hari sama, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan permohonan penangguhan sementara Najib dan Nazifuddin, dengan syarat mereka memfailkan notis usul dan permohonan penangguhan selewat-lewatnya minggu ini.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes secara terus tanpa memanggil saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan.
Mereka mengemukakan rayuan terhadap kedua-dua keputusan yang dibuat di Mahkamah Tinggi berasingan.
Pada 22 Julai 2020, Hakim Ahmad Bache membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Najib dalam samannya bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion antara 2011 dan 2017.
Pada 6 Julai 2020, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan Nazifuddin membayar RM37.6 juta, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya bagi menuntut tunggakan cukai antara 2011 dan 2017.
Pada 4 Feb lepas, LHDN mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Najib, susulan kegagalan beliau membayar tunggakan itu kerana penghakiman terus tidak ditangguhkan, manakala Nazifuddin turut mendapat notis serupa pada 30 April lepas, juga kerana gagal melunaskan tunggakan yang diarahkan Mahkamah Tinggi.
Najib dan Nazifuddin kemudian memfailkan notis usul secara berasingan pada 14 Sept lepas bagi memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka.
Mereka meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan sembilan isu perundangan.