Isu ketidakpadanan kerja bantut pemulihan ekonomi negara, kata Shafie

Isu ketidakpadanan kerja bantut pemulihan ekonomi negara, kata Shafie

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata isu pekerjaan bawah kelayakan dalam kalangan siswazah menyebabkan lepasan SPM dan diploma terpaksa bersaing dengan mereka untuk mendapatkan pekerjaan separa mahir atau tanpa kemahiran.

Sebanyak 1.89 juta siswazah direkodkan bekerja dalam sektor separuh mahir dan tanpa kemahiran, yang turut mewakili jumlah peluang pekerjaan yang diambil daripada lepasan SPM dan diploma. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menggiatkan usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah supaya mereka tidak diberi kerja berkemahiran rendah di bawah kelayakan pendidikan, kata Presiden Warisan Shafie Apdal.

Katanya, situasi “pekerjaan bawah kelayakan” itu menghalang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mendapatkan pekerjaan separuh mahir atau tanpa kemahiran kerana terpaksa bersaing dengan lepasan ijazah.

“Warisan berpendirian, isu pekerjaan di bawah kelayakan ini wajar diberi perhatian segera,” katanya dalam kenyataan.

“Pada 2020, seramai 260,701 siswazah yang direkodkan bersedia untuk masuk ke pasaran kerja. Namun, jumlah pekerjaan mengikut kelayakan pada 2020 hanya 73,000 pekerjaan, merosot sebanyak 31,000 berbanding tahun sebelumnya. Ini menyebabkan ramai siswazah mendapat pekerjaan di bawah kelayakan mereka.”

Shafie Apdal.

Katanya, sepanjang tahun itu juga, sebanyak 1.89 juta siswazah direkodkan bekerja dalam sektor separuh mahir dan tanpa kemahiran, yang turut mewakili jumlah peluang pekerjaan yang diambil daripada lepasan SPM dan diploma.

“Kerajaan disaran mempergiatkan lagi usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada siswazah. Ini bagi memberikan keseimbangan dalam pasaran kerja negara terutamanya untuk berlaku adil kepada golongan B40 yang berkelayakan sederhana dan rendah.

“Adalah dicadangkan kerajaan mengutamakan ekonomi gig dan keusahawanan bagi lepasan siswazah yang mencari pekerjaan. Di samping itu, perjawatan secara kontrak dengan agensi kerajaan dan syarikat berkepentingan kerajaan boleh ditawarkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran kerja boleh membantutkan usaha pemulihan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.