Geran Khas Prihatin RM500 seperti bantuan untuk B40, bukan PKS, kata DPMM

Geran Khas Prihatin RM500 seperti bantuan untuk B40, bukan PKS, kata DPMM

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menyifatkan bantuan itu tidak cukup untuk peniaga kecil bertahan.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menyifatkan Geran Khas Prihatin 4.0 ‘seolah-olah bantuan untuk beri makan seorang anak selama sebulan’.
PETALING JAYA:
Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 tidak mencukupi bagi menampung modal, termasuk memulihkan perniagaan, kata Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Presidennya, Abdul Halim Husin, berkata usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika ini terkesan disebabkan pelbagai faktor, bukan sahaja pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

“Saya lihat bantuan ini dapat meringankan beban, tetapi ia tidak mencukupi. Jumlah RM500 yang diberikan untuk sebulan tidak mampu menampung kos perniagaan menjual nasi lemak di tepi jalan yang modalnya mencecah RM1,000.

“Ditambah dengan kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini yang membebankan, ini tentunya tidak cukup untuk peniaga kecil bertahan dengan hanya bergantung kepada bantuan itu,” katanya dipetik Berita Harian.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bantuan GKP 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan disalurkan bermula Selasa depan.

Beliau berkata, bantuan berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM500 juta akan memanfaatkan sejuta PKS mikro.

Halim berkata, pengusaha PKS kecewa kerana bantuan yang diberikan itu tidak memadai untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

“GKP 4.0 kali ini bagaikan memberi bantuan kepada golongan 40% terendah (B40), bukan PKS.

“Ia seolah-olah bantuan untuk beri makan seorang anak selama sebulan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.