Culik, minta wang tebusan, 5 berdepan tali gantung

Culik, minta wang tebusan, 5 berdepan tali gantung

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang terdiri daripada empat warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama melarikan seorang lelaki warga Bangladesh, Md Sohel Rana, 39, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak 1 juta Taka Bangladesh (kira-kira RM50,000). (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Lima individu berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan menculik dan meminta wang tebusan kira-kira RM50,000, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang terdiri daripada empat warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan itu.

Tertuduh Md Raihan Hosen, 28; Josim, 32; Miah Soraf, 33; Nusrat Jahan Bipasha, 26; dan wanita tempatan Faridah Jeya Sly Ramesh, 27, didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama melarikan seorang lelaki warga Bangladesh, Md Sohel Rana, 39, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak 1 juta Taka Bangladesh (kira-kira RM50,000).

Kesalahan itu dilakukan di hadapan pasar raya di Jalan Damai Mewah 1, Hulu Langat, 8.30 malam, 27 Ogos lalu, menurut laporan Harian Metro.

Tiga tertuduh lelaki Bangladesh dan wanita tempatan mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Namun, seorang tertuduh wanita warga Bangladesh, iaitu Nusrat Jahan tidak faham bahasa Malaysia sebelum pertuduhan dibaca semula jurubahasa dalam bahasa Inggeris.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husnah Amran, manakala dua tertuduh, iaitu Md Raihan dan Josem diwakili peguam Tan Cheng Yee manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 7 Oktober untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.