Tapak rizab biosfera Bukit Bendera diiktiraf UNESCO, angkat martabat P Pinang di mata dunia

Tapak rizab biosfera Bukit Bendera diiktiraf UNESCO, angkat martabat P Pinang di mata dunia

Perbadanan Bukit Bendera (PHC) akan menubuhkan unit pengurusan untuk mengurus tapak berkenaan serta mengembangkan program kesedaran dan promosi.

Pengiktirafan Bukit Bendera sebagai tapak rizab biosfera adalah pengiktirafan kedua bagi negeri itu daripada UNESCO. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pengiktirafan Bukit Bendera Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera Malaysia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) membantu meningkatkan kedudukan negeri itu di peringkat antarabangsa.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata pengiktirafan itu bakal melonjakkan lagi matlamat jangka panjang Pulau Pinang memulakan pembangunan bermakna dan lestari yang menumpakan kepelbagaian biologi dan pemuliharaan ke arah mencapai Visi Pulau Pinang 2030.

“Kita juga menjangkakan suntikan semangat baharu dalam usaha kami untuk memelihara serta memulihara flora dan fauna, kehijauan alam semula jadi serta warisan budaya yang tidak ternilai bagi Pulau Pinang dan rakyatnya.

“Kita berhasrat menjadikan Pulau Pinang contoh baik kepada negeri lain dalam perkara berkaitan pemuliharaan dan pembangunan ekonomi mampan di Malaysia kerana amalan hijau ini akan membantu meningkatkan kualiti hidup kita dan memberikan peluang lebih baik di saat Pulau Pinang berkembang sebagai bandar pintar dan hijau,” katanya pada sidang media maya mengenai pengiktirafan itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo dan Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Cheok Lay Leng.

Susulan pengiktirafan itu, Chow berkata, PHC akan menubuhkan unit pengurusan untuk mengurus tapak berkenaan serta mengembangkan program bagi meningkatkan kesedaran dan mempromosikan pendekatan lestari terhadap pembangunan ekonomi yang relevan secara sosial dan budaya.

“Melalui pengalaman George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, saya rasa ini juga akan menjadi perjalanan mencabar. Ada banyak yang dapat dipelajari daripada pengalaman itu (ketika George Town diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008) dari segi pengurusan dan kawalan pembangunan.”

Menurut Chow, inisiatif mencalonkan Bukit Bendera Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera bermula sejak 2016 dan ia merupakan pengiktirafan kedua untuk negeri itu daripada UNESCO dan yang ketiga seumpamanya di Malaysia, selepas Tasik Chini di Pahang dan Banjaran Crocker di Sabah.

Chow menyifatkan kejayaan itu hasil usaha bersepadu dan kerjasama dengan Kumpulan The Habitat, ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia, pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat serta sokongan padu daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Kerajaan Pulau Pinang berterima kasih dan amat berbangga dengan kejayaan ini, hasil usaha yang mengambil lima tahun bagi menjayakannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.