
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, projek itu adalah bagi pemulihan ekonomi negeri berkenaan pasca Covid-19 dan pihaknya berharap ia dapat diteruskan untuk kemaslahatan rakyat.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bersidang semalam juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan itu yang menyebabkan pembatalan kelulusan EIA bagi PSR,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kerajaan negeri mengambil maklum keputusan itu berasaskan ketidakpatuhan proses perancangan semata-mata, bukannya atas hujah substantif ataupun “merits of the case”.
Beliau berkata, menurut keputusan bertulis Lembaga Rayuan, laporan EIA itu didapati tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSN2030) dianggap belum berkuat kuasa ketika kelulusan EIA diberikan.
Katanya, kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan dan berpendapat segala proses serta tatacara perancangan dan kelulusan yang perlu sudah dipatuhi.
Ia termasuk kelulusan RSN2030 oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) pada 14 Mac 2019 serta pembentangan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April 2019.
“Kedua-dua pematuhan itu dianggap memadai bagi kehendak Seksyen 34A(4)(a) yang menetapkan projek itu hendaklah selari dengan ‘pelan pembangunan atau pelan fizikal yang diluluskan pihak berkuasa berkaitan yang boleh memberikan kelulusan’.”
“Justeru, kelulusan yang diberi Ketua Pengarah JAS pada 15 Jun 2019 tidak bercanggah sama sekali dengan keperluan akta.”
Sebelum ini, tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob mengetepikan kelulusan EIA bagi projek itu. Dua lagi anggotanya ialah Mazlin Mokhtar dan Ramdzani Abdullah.
Anggota Lembaga Rayuan membuat keputusan berkenaan terhadap rayuan yang difailkan oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 mengikut Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17km persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700ha di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bernilai kira-kira RM46 bilion.