
PETALING JAYA: Seramai 17,833,355 individu atau 76.2% daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Menerusi perkongsian di laman Twitter, JKJAV memaklumkan 92.5% atau 21,719,553 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.
Sementara itu, sebanyak 39,234,306 dos suntikan vaksin telah diberikan setakat semalam termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.
“Semalam, sebanyak 248,410 dos vaksin telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” menurut JKJAV.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.