
Ketua Polis Daerah Maran Norzamri Abd Rahman berkata, Muhammad Abdullah Saiful Bahari disedari tiada di tempat duduk kereta pada jam 1 tengah hari, iaitu kira-kira 15 minit selepas bapanya meninggalkan dia berseorangan di situ.
“Bapanya mendakwa meninggalkan mangsa di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka. Sebaik sahaja menyedarinya tiada, bapa mangsa bertanya kepada kakak dan abang mangsa yang berusia enam serta lapan tahun, namun mereka juga tidak menyedari dia keluar dari kereta.
“Mereka cuba mencari mangsa di kawasan berhampiran sebelum bapanya mendakwa menjumpai kesan tapak kaki kanak-kanak di tepi sungai menyebabkan dia mengesyaki anaknya terjatuh di situ,” katanya ketika dihubungi.
Norzamri berkata, sungai itu terletak di dalam ladang kelapa sawit, kira-kira tiga kilometer dari jalan utama.
Katanya, lelaki itu kemudiannya meminta bantuan orang kampung untuk mencari anaknya di sungai sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 4 petang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan petang semalam yang melibatkan polis, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia namun dihentikan pada jam 8 malam kerana cuaca mulai gelap.
“Operasi SAR bersambung pagi ini melibatkan anjing pengesan untuk mencari jejak akhir mangsa sama ada di sungai atau di hutan berhampiran,” katanya.