
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, penjawat awam merupakan pelaksana dasar kerajaan, justeru amat penting untuk mereka mengamalkan dasar itu, termasuk berkaitan program vaksinasi negara.
“Kita adalah penjawat awam yang menerima arahan dan dasar kerajaan, jadi apabila diarahkan vaksinasi ini, kita kena vaksinlah,” katanya selepas menyerahkan sumbangan tiga unit respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Beliau berkata, ketua jabatan perlu memainkan peranan penting memberi penjelasan sebaik mungkin mengenai kepentingan mengambil vaksin.
“Pendekatan yang patut diambil ialah berjumpa dengan semua mereka yang diketahui tidak menerima suntikan vaksin ini dan (ambil) tahu apa masalah mereka di lapangan.”
Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Siti Norhani Mazrah Khalid berkata, hampir 400 daripada 1,108 katil di hospital itu digunakan untuk pesakit Covid-19.
Daripada jumlah itu, katanya, 44 katil untuk pesakit Covid-19 ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).