
Sebanyak 243,972 dos vaksin diberikan setakat tengah malam tadi membawa bilangan individu dewasa yang mendapat suntikan lengkap kepada 75.4%, malah di Lembah Klang ia menjangkaui 100%. Kira-kira 92.5% individu yang layak divaksin di seluruh negara menerima sekurang-kurangnya satu suntikan.
Menurut CovidNow, KKM menjangkakan 80% imuniti dewasa dijangka dicapai dalam tempoh enam hari, iaitu sebelum 21 September. Ia menjangkakan 100% imuniti akan dicapai menjelang hujung Oktober.
Bilangan direkodkan semalam membawa jumlah kumulatif suntikan dos kepada 39,234,306. Seramai 3,996,149 orang masih menunggu untuk menerima suntikan kedua, manakala 206,067 masih belum mendaftarkan diri.
Johor mendahului bilangan vaksinasi semalam dengan 46,373 suntikan diberikan. Ini disusuli Perak (28,887), Sabah (26,483), Kedah (22,756) dan Kuala Lumpur (21,305) sebagai negeri yang memberikan lebih 20,000 dos vaksin.