
Ketua Polis Taiping, Osman Mamat berkata, mengikut prosedur, anak perempuan tertuduh yang telah membuat bayaran secara dalam talian sepatutnya menyerahkan bukti pembayaran di kaunter mahkamah.
“Selepas itu, dokumen bertulis bon jaminan mahkamah akan dikeluarkan. Dokumen ini perlu ditandatangani oleh penjamin, tertuduh dan majistret.
“Penjamin kemudian perlu mengemukakan dokumen bon jamin mahkamah yang siap ditandatangani kepada pihak polis supaya tertuduh dibebaskan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, prosedur itu tidak dipatuhi oleh penjamin dan tertuduh.
Susulan itu beliau berkata, pihaknya menolak laporan FMT berhubung isu itu.
Osman menggesa orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tidak tepat.
FMT pada Isnin melaporkan Saroja Devi Krishnan, 46, digari dan dibawa ke balai polis serta terpaksa bermalam di lokap walaupun telah menjelaskan wang jaminan berjumlah RM500 pada Jumaat.
Dia sebelum itu didenda RM2,000 oleh majistret Adibah Kadir selepas mengaku salah kerana cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya mencederakan jirannya mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Saroja Devi, seorang tukang masak yang mempunyai tujuh anak, merayu supaya dendanya diringankan. Susulan itu, mahkamah menetapkan 25 Oktober untuk mendengar rayuannya dan membenarkan jaminan RM500.
Anak perempuannya Rangitha Gobi, 22, berkata, Saroja Devi bagaimanapun terpaksa bermalam di lokap walaupun beliau telah menunjukkan bukti pembayaran secara dalam talian.
Katanya, ibunya hanya dibenarkan pulang keesokannya selepas campur tangan Adibah.