Kes pencemaran Seelong: 4 individu disyaki lupus sisa buangan secara haram ditahan

Kes pencemaran Seelong: 4 individu disyaki lupus sisa buangan secara haram ditahan

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata empat lelaki warga tempatan itu ditahan Jabatan Alam Sekitar pagi tadi.

Susulan kejadian pelupusan haram itu, empat mangsa semuanya perempuan berusia antara 24 hingga 49 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut ekoran mengalami masalah sesak nafas. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Empat individu termasuk pemilik premis yang dipercayai terlibat dalam pelupusan bahan buangan terjadual secara haram sehingga memaksa sebilangan penduduk di Kampung Baru Sri Aman Seelong keluar dari kediaman malam tadi, ditahan pagi ini.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mengesahkan tangkapan berkenaan berkata, keempat-empat lelaki warga tempatan itu ditahan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar kira-kira 11.30 pagi tadi, di premis berkenaan tidak jauh dengan lokasi kejadian.

Beliau berkata, susulan kejadian pelupusan haram itu, empat mangsa semuanya perempuan berusia antara 24 hingga 49 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut ekoran mengalami masalah sesak nafas.

“Kita bersama JAS telah pun membuat tangkapan empat orang termasuk pemilik premis yang disyaki terlibat dalam insiden pembuangan sisa toksik ini.

“Maklumat selebihnya kita akan bagi kemudian sebab tangkapan baharu sahaja dilakukan tadi. Polis akan beri bantuan sepenuhnya kepada pihak JAS untuk operasi susulan, mungkin ada lagi lokasi yang kita perlu periksa serbu dan mungkin ada tangkapan yang kita perlu buat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Kampung Baru Sri Aman, Seelong.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Mohd Famey Yusoff yang ditemui di lokasi berkenaan berkata, proses persampelan di kawasan tercemar telah dilakukan dan sampel yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia, sama ada di Melaka atau Petaling Jaya untuk dianalisis.

“Pada masa ini, kita tidak boleh menentu pasti apakah bahan yang dibuang sebenarnya. Bagaimanapun, kita telah dapat kenal pasti puncanya (cuma) kita tak boleh maklumkan dulu, ia mesti melalui analisis makmal.

“Ketika ini, pegawai kita dan pihak polis akan buat serbuan ke premis yang dipercayai melakukan pelupusan secara haram,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan 24 jam dari sekarang bagi memastikan bahan kimia berkenaan tidak membahayakan penduduk sekitar.

“Ketika ini seperti yang semua maklum, tiada bau dan sebagainya dan tiga jenis bahan kimia di udara (dikesan) yang kita cerap bacaannya tahap 0.6 hingga 1 ppm (bahagian setiap juta), jadi ia sangat rendah, kurang dan minimum.

“Oleh itu, kita akan pantau untuk pastikan tidak berlaku peningkatan sekali gus kita beri keyakinan kepada penduduk kawasan tersebut selamat,” kata Famey.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.