
Menerusi perkongsian di Facebook, Ebit dan beberapa penduduk setempat datang menziarahi Nur Azizah dan keluarga di kediamannya di Jinjang.
Menurut Ebit, beliau turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa gadis berusia 17 tahun yang disifatkannya sebagai seorang anak yang cekal membantu keluarga.
“Sebak sayu sangat rasa ziarah adik Siti Nur Azizah yang disamun ketika kerja jual ‘online’ dan menghantar barang dengan motor. Cedera parah sehingga tangan kanan dipotong sehingga bahu.
“Adik ni baik sangat, ayah meninggal dunia tiga tahun lepas. Semenjak itu Nur Azizah kerja berniaga ‘online live bundle’ dari tiga tahun lepas. Tak sekolah kerana nak bantu keluarga,” katanya di Facebook.
Terdahulu, FMT melaporkan tangan kanan Azizah terpaksa dipotong sehingga paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru.
Pada 26 Ogos lalu, Azizah dan teman lelakinya yang menaiki motosikal Y15ZR disamun oleh tiga orang lelaki ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai menghantar makanan kepada pelanggan, kira-kira pukul 12.10 tengah malam.
Suspek difahamkan menendang motosikalnya sehingga menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan mengakibatkan Azizah cedera di bahu kanan dalam kejadian di Jalan Kuching menghala pusat bandar itu.
Azizah yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) merupakan anak sulung kepada lima orang adik-beradik.
Menurut abang saudara mangsa, selepas bapanya meninggal dunia, Azizah yang tinggal di PPR Beringin Jinjang mengambil tanggungjawab membantu menambah pendapatan keluarga dengan menjual dan memberi perkhidmatan menghantar makanan.
Sehingga kini, masih belum ada sebarang penahanan berhubung kejadian samun tersebut walaupun lakaran wajah suspek sudah mula diedarkan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, pihaknya masih giat mengesan dan mengenal pasti tiga orang suspek yang terlibat menyamun dan menyerang Azizah dan teman lelakinya.