
Tertuduh berusia 39 tahun yang didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan hari ini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencabul kanak-kanak perempuan terbabit dalam kereta Proton Wira di tepi jalan di Tanah Merah, Kelantan kira-kira 10 hingga 12 malam pada 8 hingga 12 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar tidak menawarkan jaminan kerana bimbang tertuduh mengganggu mangsa yang juga adik iparnya sepanjang prosiding.
Akan tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dibenarkan kerana dia perlu menanggung ibunya yang kurang upaya, lima anak dan isteri yang sedang mengandung.
Mahkamah tidak membenarkan dia diikat jamin dan menetapkan 14 Nov ini untuk sebutan semula kes, termasuk penyerahan laporan perubatan mangsa.