Bimbang jangkitan menular, Empangan Mengkuang ditutup 7 hari

Bimbang jangkitan menular, Empangan Mengkuang ditutup 7 hari

Empangan dan kemudahan rekreasi lain dimiliki Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang kini hanya dibuka untuk individu yang mendapat suntikan vaksin lengkap.

Pejabat Kesihatan Daerah mengarahkan Empangan Mengkuang ditutup tujuh hari atas sebab kesihatan. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Pihak berkuasa kesihatan mengarahkan empangan terbesar Pulau Pinang ditutup kepada orang ramai susulan dibimbangi mampu mengakibatkan penyebaran jangkitan.

Pejabat Kesihatan Daerah mengeluarkan perintah itu terhadap Empangan Mengkuang berhampiran Bukit Mertajam, selama tujuh hari mulai hari ini hingga 23 September.

Alasan diberikan adalah kerana ia boleh menyebabkan penularan dan penyebaran penyakit berjangkit.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, dua lagi empangannya iaitu Air Itam dan Teluk Bahang, termasuk taman rekreasi Bukit Dumbar, hanya akan dibuka untuk pengunjung yang menerima suntikan dos vaksin lengkap.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Jaseni Maidinsa berkata, pengunjung ke empangan berkenaan perlu menunjukkan status “risiko rendah” atau “kontak kasual” dalam aplikasi MySejahtera.

Mereka yang berusia bawah 17 tahun mesti diiringi ibu bapa atau penjaga yang divaksin lengkap.

Katanya, sebelum ini kemudahan itu mengehadkan jumlah pengunjung kepada 200 orang, manakala bagi Empangan Mengkuang pula 350 orang.

Jaseni berkata, semua pengunjung dipantau ketat untuk memastikan penjarakan sosial 3-5m.

Empangan Mengkuang ditutup selama enam tahun untuk kerja pembesaran oleh kerajaan persekutuan sebelum dibuka semula kepada awam pada 10 Disember tahun lalu.

Pada hujung minggu lalu, ramai orang dilihat berhimpun di empangan berkenaan, mencetuskan kebimbangan warganet mengenai penularan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.