Anak jumpa bapa lemas di sungai

Anak jumpa bapa lemas di sungai

Mayat Izman Mohamed, 44, ditemui anaknya Syazrin Daniel, 22, dalam sungai berhampiran limbungan pembaikan bot milik keluarga mereka.

Mayat Izman Mohamed ditemui anaknya pada 8 pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang tukang membaiki bot ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menurunkan bot berhampiran limbungan di Kampung Pulau Ketam, awal pagi tadi.

Mayat Izman Mohamed, 44, ditemui anaknya Syazrin Daniel, 22, dalam sungai berhampiran limbungan pembaikan bot milik keluarga mereka, kira-kira 8 pagi tadi.

Adik mangsa, Juhan Mohamed, 32, berkata kira-kira 3.30 pagi tadi, beliau bersama Izman, Syazrin Daniel serta dua pekerja mereka menurunkan sebuah bot yang telah siap dibaiki ke sungai.

“Semasa saya menurunkan bot, dia (Izman) ada berdekatan tebing sungai dan air pada waktu itu di paras pinggang sahaja. Selepas menurunkan bot pada kira-kira 4.30 pagi, kami berempat kemudian naik ke darat dan saya mendapati abang saya tiada.

“Selepas itu kami cari abang di kawasan sekitar. Lebih kurang empat jam selepas itu, baru anak saudara (Syazrin Daniel) saya jumpa ayahnya di dalam air (sungai),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din, ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat Izman dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.