57% Orang Asli sudah divaksin

57% Orang Asli sudah divaksin

Jumlah yang telah menerima suntikan vaksin adalah berjumlah 82,555 daripada jumlah keseluruhan 144,180 Orang Asli yang layak divaksin.

Abdul Rahman Mohamad berkata, pelbagai program dilakukan oleh JAKOA bagi memastikan Orang Asli di seluruh negara menyakini program vaksinasi dan tiada yang tercicir. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 57% individu Orang Asli sudah menerima suntikan vaksin di seluruh negara sehingga kini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata, jumlah yang telah menerima suntikan vaksin adalah 82,555 daripada jumlah keseluruhan 144,180 Orang Asli yang layak divaksin.

Katanya, dengan penerimaan vaksin CanSino yang mula diagih bulan ini, baki 43% individu Orang Asli akan diberi vaksin secepat mungkin.

“Kita harap dapat segera vaksin CanSino dan baki lebih kurang 50,000 penduduk Orang Asli dapat diberi vaksin untuk pastikan 100% mereka yang layak dapat diselesaikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highland) yang meminta kerajaan menyatakan langkah yang dilakukan oleh pihak kementerian bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman berkata, pelbagai program dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) termasuk kempen bagi memastikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara menyakini program vaksinasi bagi menjamin tiada yang tercicir.

“JAKOA juga melaksanakan pendaftaran vaksin secara manual bagi penduduk yang mengalami masalah peranti dan internet,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.