Vaksinasi bukan alasan untuk leka, kata KJ

Vaksinasi bukan alasan untuk leka, kata KJ

Khairy Jamaluddin beri peringatan susulan video dan gambar tular menunjukkan orang ramai tidak mematuhi SOP di pusat bandar dan taman rekreasi pada hujung minggu lalu.

Orang ramai dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard seperti memakai pelitup muka atau menjaga penjarakan sosial pada hujung minggu lalu.
PETALING JAYA:
Vaksinasi lengkap bukan alasan untuk leka dalam mematuhi prosedur operasi lengkap (SOP) seperti memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal dan membasuh tangan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau memberikan peringatan itu susulan orang ramai dilihat di pusat bandar dan taman rekreasi selepas Lembah Klang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara pada 10 September lalu. Ramai yang dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka serta penjarakan sosial.

“Saya faham ramai yang teruja dengan kelonggaran ini terutama setelah hampir tiga bulan berada dalam Fasa 1 PPN dan perintah kawalan pergerakan menyeluruh sebelum itu.

“Bagaimanapun, aktiviti seperti ini pasti menyebabkan berlaku perkumpulan orang ramai dan pematuhan SOP yang rendah,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan negara tidak mampu beralih ke fasa endemik sekiranya masih ada pelanggaran SOP.

Khairy sebelum ini berkata kerajaan bercadang memasuki fasa endemik menjelang hujung Oktober.

Selain itu, beliau mengingatkan bahawa tidak mustahil untuk jangkitan kembali menjadi teruk jika masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang telah diberikan.

Di bawah Fasa 2, individu yang telah mendapat suntikan vaksin lengkap dibenarkan ‘dine-in’ di kedai makan, selain melakukan aktiviti pelancongan termasuk tinggal di hotel dan inap desa di dalam negeri masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.