
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan kenyataan itu sebagai sindiran yang menunjukkan PN masih ingin bermain politik.
“Ini persis makna peribahasa, rumah sudah siap pahat masih berbunyi,” katanya kepada FMT.
Shamsul yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, fakta menunjukkan pihak yang menarik sokongan kepada bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin ialah anggota kumpulan mereka sendiri, bukannya pembangkang.
Semalam, ketua penerangan parti komponen PN berkata, sikap bermuka-muka dalam hal berkaitan sokongan dan undi percaya kepada perdana menteri tidak lagi diperlukan kerana negara memerlukan kestabilan.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan; Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad; Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP), Chin Vui Kai; Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kumin; dan Ketua Penerangan Gerakan, Koo Shiaw Lee.
Dalam kenyataan sama, semua ketua penerangan terbabit menyatakan undi percaya tidak lagi diperlukan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menganggap ketua penerangan parti komponen PN itu mungkin “tidak mengetahui” satu memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan telah ditandatangani semalam.
Semalam, kerajaan dan PH menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi sebagai tanda komitmen bersama kedua-dua pihak bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti serta mengembalikan semula kestabilan politik.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, sikap PN yang bermuka-muka menjadi punca kejatuhan kerajaan PH sebelum ini.
Beliau berkata, dalam kerajaan menghadapi pandemik Covid-19, PN juga menjatuhkan kerajaan PH melalui ‘Langkah Sheraton’..
“Dalam kerajaan berdepan pandemik dan semua pihak tidak harus berpolitik, mereka jatuhkan kerajaan negeri PH seperti Johor, Perak, Melaka, Kedah dan akhirnya Sabah sekali gus menyebabkan tercetusnya lonjakan jangkitan Covid-19,” katanya.