Kerajaan sasar naikkan nisbah katil hospital dalam RMK12

Kerajaan sasar naikkan nisbah katil hospital dalam RMK12

Inisiatif untuk menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada turut diteruskan, kata Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan kini meneruskan inisiatif untuk menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf fasiliti sedia ada.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan nisbah katil hospital kepada 1,000 penduduk pada kadar 2.08 menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, setakat tahun lepas, iaitu tahun akhir RMK11, nisbah yang tercapai adalah 2.01, dengan bilangan katil meningkat daripada 55,952 pada 2016 kepada 65,508 pada 2020.

Sehubungan itu tambahnya, kerajaan kini meneruskan inisiatif untuk menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada.

“Tumpuan diberikan kepada kawasan di mana hospital sedia ada mempunyai kadar penggunaan katil yang tinggi.

“Faktor lain yang turut diambil kira adalah kepadatan penduduk, akses kepada perkhidmatan di hospital sedia ada dan peruntukan kewangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin tahu sasaran KKM untuk mencapai tahap penyediaan katil hospital yang lebih tinggi, justeru menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih selesa untuk rakyat.

Tambah Khairy, selain meningkatkan bilangan katil di hospital dan fasiliti, KKM menggunakan pendekatan mengoptimumkan bilangan katil sedia ada menerusi perkhidmatan rawatan harian di hospital utama.

Ini bagi mengurangkan keperluan kepada katil pesakit, katanya.

“(Selain itu) pelaksanaan program hospital kluster dengan perkhidmatan kepakaran dikembangkan ke hospital tanpa pakar yang mempunyai kadar penggunaan katil yang rendah,” katanya.

Ini termasuk penggunaan hospital bukan pakar dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dioptimumkan untuk menjalankan prosedur atau pembedahan tertentu, tambahnya.

“Penyumberluaran perkhidmatan tertentu kepada hospital swasta untuk mengurangkan waktu menunggu prosedur atau pembedahan serta perkhidmatan secara maya, termasuk klinik maya sudah dimulakan dan akan diperluas ke beberapa hospital serta klinik kesihatan.”

Khairy berkata, KKM tidak menghentikan atau mengurangkan perkhidmatan kepada pesakit bukan Covid-19, terutamanya bagi kes kecemasan dan separa kecemasan, malah pihaknya menyediakan pelan bagi memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya.

“Langkah-langkah diambil adalah seperti pemanjangan waktu operasi klinik pakar/dewan bedah selepas waktu pejabat, termasuk pada Sabtu bagi hospital tertentu.

“Juga penggunaan pusat pembedahan katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Hospital Selayang dengan lebih produktif dan penambahan kes dalam sehari oleh hospital di sekitar Selangor,” katanya.

Khairy berkata, KKM juga akan meneliti kebolehlaksanaan penyediaan hospital khas bukan Covid-19 untuk menjalankan prosedur atau pembedahan elektif yang tertangguh apabila kadar vaksinasi lengkap negara melebihi 60% dan kes Covid-19 serius menurun pada bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.