
Katanya, setiap program latihan ATM perlu dilakukan berdasarkan situasi perang sebenar.
Sehubungan itu, beliau berkata, risiko kemalangan berpotensi terjadi dari semasa ke semasa, namun lazimnya ia kejadian terpencil.
“Berkenaan kemalangan, amat mustahil untuk kita kawal, tetapi kita sentiasa cuba meminimumkan risiko berkenaan,” katanya selepas merasmikan penutupan Eksais Ababi 2021 (Latihan Tembakan Kuasa Udara) di Lapang Sasar Udara (Lasarud) di sini.
Affendi mengulas kemalangan membabitkan anggota tentera 10 Briged Para yang lemas ketika menjalani Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Bera, Pahang, pada 29 Ogos lalu.
Beliau tidak menafikan kemalangan pernah berlaku ketika ATM mengadakan latihan.

“Kemalangan ketika dalam latihan ini tidak selalu terjadi dan ia lebih kepada kejadian terpencil,” katanya.
Sementara itu, Affendi berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penyelenggaraan aset secara berkala bagi memastikan pertahankan ruang udara negara efektif.
Katanya, cadangan menggantikan aset dengan pesawat baharu juga dalam perancangan TUDM.
Beliau berkata, dalam perancangan strategi, pihaknya perlu melihat jangka masa dan sekiranya perlu, TUDM akan membuat proses perolehan terhadap pesawat yang mencapai usia tidak efektif.
“Sama ada lambat atau tidak, bergantung kepada sumber kewangan dan pada masa sama, pesawat kita ada yang usia makin meningkat.
“Oleh itu, kita sentiasa selenggara secara berkala sebab kita tidak mahu pesawat yang tidak boleh digunakan.”