
Wakil rakyat DAP itu berkata, langkah itu bertujuan memastikan inisiatif pertama gelembung pelancongan itu mencapai kejayaan tanpa berlaku penularan wabak Covid-19.
Beliau berkata, pelbagai pihak bimbang kerana kerajaan tidak mewajibkan ujian saringan Covid-19 dilakukan individu yang mahu bercuti ke Langkawi.
Tambahan katanya, sebahagian besar kanak-kanak di bawah umur 18 tahun juga belum divaksin.
“Memandangkan kes positif di negara masih mencecah puluhan ribu setiap hari, SOP ketat perlu dilaksanakan kerana wujud risiko penularan.
“Dengan pelbagai varian baharu, tidak mustahil mereka yang lengkap vaksinasi dijangkiti Covid-19 dan situasi akan jadi lebih teruk sekiranya mereka sendiri tidak tahu dijangkiti virus itu dan menjadi ‘super spreader’,” katanya dalam kenyataan.
Bagi memastikan inisiatif gelembung pelancongan mencapai kejayaan tanpa wujud sebarang kluster atau penularan Covid-19, Lim berkata, semua cara perlu dilaksanakan demi menjamin percutian selamat.
“Dengan adanya kewajipan untuk melakukan ujian saringan, pelancong akan berasa selamat, mereka di pulau juga tidak perlu risau dengan penularan wabak.”
Terdahulu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini mengumumkan SOP pembukaan semula destinasi pelancongan pertama negara, Langkawi mulai 16 Sept ini.
Menterinya, Nancy Shukri dilaporkan berkata, antara SOP itu ialah pelancong domestik dari seluruh negara, termasuk dari negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara yang lengkap divaksin boleh bercuti di Langkawi.
Katanya, kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah perlu bergerak bersama penjaga yang lengkap divaksin.