Pekerja kilang proses produk ayam mati tersepit jentera

Pekerja kilang proses produk ayam mati tersepit jentera

Pekerja am maut tersepit ketika sedang bersihkan ‘spin chiller’ berseorangan.

Notis larangan dikeluarkan kepada majikan kerana gagal memastikan jentera ‘spin chiller’ dikendalikan dengan selamat, kata Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Johor, Husdin Che Amat.
BATU PAHAT:
Seorang pekerja am di sebuah kilang memproses produk ayam sejuk beku di Jalan Ayer Hitam dekat sini, maut akibat tersepit dalam jentera “spin chiller”, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Johor, Husdin Che Amat berkata, dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa warga tempatan berusia 40 tahun ditugaskan untuk menjalankan kerja pembersihan jentera kilang bersama dua lagi rakan sekerjanya.

“Tiada operasi pengeluaran dijalankan pada hari kejadian dan ketika mangsa menjalankan kerja pembersihan di jentera ‘spin chiller’ berseorangan, mangsa terjatuh ke dalam ruang jentera itu dan dihimpit oleh skru ‘conveyor’ alat berkenaan.

“Operasi jentera dimatikan oleh rakan sekerja selepas melihat kaki mangsa terkapai-kapai dari dalam jentera. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, JKKP telah mengeluarkan “Notis Larangan” kepada majikan atas kegagalan memastikan jentera “spin chiller” dikendalikan dengan selamat dan kegagalan untuk mengadakan sistem kerja selamat khususnya sistem “Lockout /Tagout” (LOTO) bagi kerja pembersihan jentera.

Husdin berkata, majikan juga diarahkan mengambil tindakan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja pembersihan jentera termasuklah mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko serta latihan yang diperlukan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko ketika membersih jentera “spin chiller”.

Selain itu, majikan tersebut diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi menjalankan siasatan dalaman dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh jabatan bagi melengkapkan hasil siasatan.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan. Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti ‘hazard’, menganalisis dan menaksir risiko yang berkaitan dan seterusnya melaksanakan langkah kawalan yang sesuai bagi mengawal risiko berkaitan. Ia satu daripada kewajipan am majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk menyediakan tempat kerja yang selamat kepada pekerjanya dan orang lain yang berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.