Ingkar perintah kuarantin kendiri, polis rekod keterangan Guan Eng

Ingkar perintah kuarantin kendiri, polis rekod keterangan Guan Eng

Ketua Polis Pulau Pinang Shuhaily Mohd Zain berkata Ahli Parlimen Bagan itu diambil keterangan pada 10 September lalu, selepas beliau selesai menjalani kuarantin kendiri.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan Lim Guan Eng ingkar arahan kuarantin kendiri bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).
GEORGE TOWN:
Polis telah merekodkan keterangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan telah diambil keterangan pada 10 September, selepas beliau selesai menjalani kuarantin kendiri.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk melengkapkan kertas siasatan bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu siasatan kes itu diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri polis dan polis telah menerima tiga laporan berhubung isu berkenaan setakat ini di mana tiga individu telah direkod keterangan berhubung perkara tersebut.

Pada 8 September, jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang Mohd Aswaad Jaafaf membuat laporan polis terhadap Lim yang didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri selepas peguam Lim, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September.

Bagaimanapun, Lim menafikan dakwaan beliau melanggar syarat kuarantin kendiri dan berkata beliau hanya dimaklumkan pada 2 September berhubung perkara itu selepas menghadiri persidangan DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.