Dihempap bongkah batu, pemandu jengkaut tertimbus di kuari

Dihempap bongkah batu, pemandu jengkaut tertimbus di kuari

Operasi menebuk batuan besar untuk dipasang bom sedang berjalan bagi memecah batu besar ke lokasi mangsa dihempap.

Aktiviti mengebom bagi memecahkan batuan di kawasan kuari dilakukan sebuah syarikat kuari pada sebelah pagi menyebabkan struktur batu tidak stabil dan runtuh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu jengkaut dilaporkan tertimbus selepas bongkahan batu dianggarkan sebesar 20m menghempap jentera berat itu di sebuah kawasan kuari di Jalan Tanjung Durian, Kampung Tanjung Durian, Bau, Sarawak, hari ini.

Mangsa, Anthony Kanna, 48, masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Tawang Lingem, yang juga Komander Operasi berkata jentera penebuk digerakkan ke lokasi insiden bagi menebuk batuan besar untuk memasang bom bertujuan memecah batu-batu ke lokasi batu besar yang menghempap mangsa.

Operasi bersambung semula pada 5.30 petang selepas ditangguhkan sementara pada 4.45 petang susulan hujan lebat di lokasi dan juga atas faktor keselamatan.

“Sebuah jentera penebuk digerakkan bagi menebuk batuan yang besar untuk memasang bom bagi memecah batu-batu ke lokasi batu besar yang menghempap mangsa,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 3.18 petang.

“Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak terima panggilan daripada MERS 999 mengenai kes di alamat berkenaan dan telah menggerakkan keluaran jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi.

“Maklumat awal daripada pemanggil mengatakan kuari tersebut telah roboh dan menimbus sebuah jengkaut serta pemandu,” katanya.

Mengulas lanjut kejadian itu, katanya jengkaut terbabit yang dikatakan membuat kerja meratakan tapak batu telah tertimbus disebabkan runtuhan batu di kuari tersebut.

“Terdapat seorang mangsa (operator) bersama jentera telah tertimbus dihempap batu yang dianggarkan sebesar 20m,” katanya.

Katanya, aktiviti mengebom bagi memecahkan batuan di kawasan kuari dilakukan sebuah syarikat kuari pada sebelah pagi menyebabkan struktur batu tidak stabil dan telah runtuh.

Menurutnya, pada masa ini terdapat empat jengkaut dan jentolak milik syarikat berkenaan sedang membuat kerja pembersihan di tapak untuk ke lokasi jengkaut yang tertimbus dianggarkan 50m dari pos kawalan tempat kejadian (PKTK).

“Pihak bomba hanya membuat pemantauan keselamatan di lokasi bagi memastikan keselamatan daripada runtuhan susulan ketika kerja menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, komander operasi melaporkan kerja pembersihan tapak ditangguhkan serta-merta pada 4.45 petang susulan hujan lebat di lokasi dan juga atas faktor keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.