Curi susu beli dadah, bukan untuk bayi, kata polis

Curi susu beli dadah, bukan untuk bayi, kata polis

Tular di media sosial membabitkan tangkapan seorang lelaki disyaki mencuri susu untuk bayinya, namun dinafikan polis Miri.

Semalam dilaporkan suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang bayi ditangkap kerana mencuri tiga tin susu di sebuah kedai di Miri Times Square, Miri, Sarawak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lelaki yang dikatakan mencuri tiga tin susu bagi menyara keluarganya sebenarnya seorang penagih dadah tegar yang mahu menjual barang dicurinya itu untuk membeli dadah, kata Ketua Polis Daerah Miri Hakemal Hawari.

Hakemal berkata, suspek berusia 24 tahun mempunyai pelbagai rekod jenayah, termasuk mencuri.

“Ingin ditegaskan bahawa mencuri adalah salah di sisi undang-undang dan kesempitan hidup bukanlah satu alasan yang sah untuk mencuri.

“Tiga tin susu yang dicuri suspek juga bukan susu formula kanak-kanak tetapi untuk orang dewasa,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Justeru Hakemal menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu kerana ia akan mengganggu siasatan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan ini,” katanya.

Semalam, dilaporkan suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang bayi ditangkap kerana mencuri tiga tin susu di sebuah kedai di Miri Times Square, Miri, Sarawak.

Suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Maigold, Taman Desa Senadin sekitar 8 malam, Sabtu lalu, susulan laporan polis yang dibuat oleh premis terbabit kira-kira 2 petang hari yang sama.

Kegiatan suspek turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan dia berjalan memasuki premis dan terus menuju ke sudut susu berkenaan sebelum meninggalkan premis dalam keadaan tergesa-gesa dengan menaiki kereta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.