Bekas pengetua guna wang pencen buka bank makanan bantu golongan terjejas

Bekas pengetua guna wang pencen buka bank makanan bantu golongan terjejas

Nor Azizah Sulaiman berkata pada permulaan sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi membina rumah kecil yang dijadikan tempat meletakkan barangan keperluan harian.

Nor Azizah Sulaiman berkata, bank makanan itu juga akan dibuka jika ada golongan yang memerlukan pada luar waktu ditetapkan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Prihatin dengan nasib masyarakat setempat yang terkesan dengan pandemik Covid-19, seorang bekas pengetua mengambil inisiatif mewujudkan bank makanan di depan rumahnya di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini sejak setahun lalu.

Nor Azizah Sulaiman, 63, berkata, pada permulaan sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi membina rumah kecil yang dijadikan tempat meletakkan barangan keperluan harian termasuk beras, minyak masak, biskut, gula dan sebagainya sekali gus memudahkan penerima mengambil barang-barang tersebut.

Kata bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, Kuala Lumpur itu, sebahagian daripada peruntukan itu adalah daripada wang simpanannya sendiri sebanyak RM9,000 manakala selebihnya hasil sumbangan orang ramai.

“Penduduk setempat yang berkeperluan boleh datang sendiri mengambil barang-barang di bank makanan ini yang dibuka pada setiap Jumaat bermula sekitar 4 petang hingga 7 malam.

“Selain itu, bank makanan ini juga akan dibuka sekiranya ada golongan yang memerlukan pada luar waktu yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 20 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan mereka yang terjejas pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 di sekitar Kemumin.

Bercerita lanjut, Nor Azizah yang juga pengerusi Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa berkata, tahun lalu sebanyak RM100,000 dibelanjakan bagi membeli barangan keperluan asas dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Setiap bulan saya juga memperuntukkan sebanyak 10% daripada wang pencen saya bagi digunakan membeli barangan asas untuk bank makanan ini dan selebihnya adalah sumbangan peribadi daripada individu perseorangan, keluarga terdekat dan rakan-rakan.

“Biasanya barang keperluan asas tersebut akan ditambah sekurang-kurangnya dua kali seminggu yang menelan belanja sekitar RM3,000 hingga RM6,000 sebulan. Barangan tersebut dapat memanfaatkan kira-kira 100 orang penerima setiap bulan,” katanya yang bersara pada 2016.

Ibu kepada lima anak yang berusia lingkungan 26 hingga 39 tahun itu berkata, pengalaman berkecimpung dalam Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) selama 10 tahun juga membuatkan naluri ingin membantu orang ramai terus “hidup” dalam dirinya.

“Melihat pelbagai kisah hidup dan kedaifan golongan kurang bernasib baik ketika terbabit dengan kerja-kerja kebajikan bersama Puspanita dahulu mendorong saya meneruskan inisiatif ini.

“Malah kewujudan bank makanan ini selari dengan hasrat kerajaan yang mahu semua pihak berganding bahu membantu mereka yang terkesan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan Tengku Amri Raja Deris, 41, menzahirkan penghargaan atas sumbangan diberikan yang sekurang-kurangnya dapat meringankan bebannya.

“Pendapatan saya sebagai buruh bagi menyara isteri serta tiga anak terjejas sepanjang tempoh pandemik ini apabila gaji terpaksa dipotong sebanyak RM200 daripada biasa.

“Syukur dengan adanya bantuan sebegini di samping bantuan yang diberikan oleh kerajaan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban dan tekanan kepada golongan seperti kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.