‘Awas dan waspada janji manis Bersatu’, bekas ahli MKT ingatkan ahli Umno

‘Awas dan waspada janji manis Bersatu’, bekas ahli MKT ingatkan ahli Umno

Aziz Kaprawi berkata, parti serpihan Umno itu sedang giat berkempen mendapatkan ahli dari Umno khususnya mereka yang berpengalaman dalam menguruskan hal-hal berkaitan perjalanan pilihanraya termasuk aktiviti berkempen menjelang PRU15.

Abdul Aziz Kaprawi berkata, Bersatu amat memerlukan persetujuan Umno untuk tidak bertanding di kawasan Parlimen yang bakal mereka tandingi bagi memastikan parti itu terus relevan.
PETALING JAYA:
Umno diingatkan agar berwaspada dan tidak mudah “termakan” janji-janji manis atau habuan yang disajikan Bersatu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, ia susulan Bersatu kini giat berkempen mendapatkan ahli dalam kalangan anggota Umno khususnya mereka yang berpengalaman dalam menguruskan hal-hal berkaitan dengan perjalanan pilihan raya termasuk aktiviti berkempen.

“Saya amat berharap agar tiada ahli atau pemimpin Umno sendiri yang ‘termakan’ dengan janji-janji manis atau habuan yang disajikan oleh Bersatu untuk menyertai parti mereka.

“Umno harus sentiasa waspada dengan gerakan politik Bersatu menjelang PRU15,” katanya di Facebook.

Bekas timbalan menteri pengangkutan itu berkata, sasaran demografi pengundi Bersatu juga terlalu mirip dengan Umno dan ini hanya akan mengakibatkan dua parti tersebut terpaksa bersaing di kawasan Parlimen yang sama.

“Bersatu amat memerlukan persetujuan Umno untuk tidak bertanding di kawasan Parlimen yang bakal mereka tandingi bagi memastikan parti itu terus relevan.

“Umno pula melalui Perhimpunan Agung Umno telah menetapkan bahawa kerjasama politik bersama Bersatu akan terputus menjelang PRU15 dan akan bertanding di mana Bersatu bakal bertanding,” katanya.

Oleh kerana itu jelas Aziz, Bersatu tidak mempunyai kaedah lain melainkan meraih sokongan melalui gerakan politik subversif, iaitu dengan melemahkan Umno di kawasan.

Jumaat lalu, Muhyiddin berkata, beliau akan memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk kembali pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga menasihatkan anggota Bersatu untuk fokus memperkuat sokongan akar umbi parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.