Syarat lengkap vaksin perlu diperluas kepada kakitangan IPT, kata persatuan pelajar

Syarat lengkap vaksin perlu diperluas kepada kakitangan IPT, kata persatuan pelajar

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Amir Asyraf Sabri berkata syarat itu perlu bagi mewujudkan persekitaran kampus yang benar-benar selamat.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan berkata bagi mereka yang tidak boleh menerima vaksin atas sebab yang munasabah seperti keadaan kesihatan atau alergik, kakitangan IPT perlu diberi peluang untuk kembali ke kampus jika benar-benar perlu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berkata syarat lengkap vaksin kepada mahasiswa perlu diperluaskan kepada semua kakitangan akademik dan bukan akademik setiap institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mewujudkan persekitaran yang benar-benar selamat.

Presidennya, Amir Asyraf Sabri berkata pensyarah yang enggan menerima vaksin juga seharusnya dilarang untuk mengajar secara bersemuka.

“Hal ini kerana tanggungjawab memelihara gelembung kampus yang selamat bukan hanya terletak pada tangan mahasiswa tetapi ia adalah tanggungjawab kolektif semua warga IPT,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Amir berkata bagi mereka yang tidak boleh menerima vaksin atas sebab yang munasabah seperti keadaan kesihatan atau alergik, kakitangan IPT perlu diberi peluang untuk kembali ke kampus sekiranya kehadiran individu berkenaan benar-benar perlu.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad bahawa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak lengkap dua dos vaksin Covid-19 tidak dibenarkan kembali menyambung pengajian di kampus.

Sebaliknya, Noraini berkata, mereka perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan hanya dibenarkan kembali ke kampus selepas menerima dos vaksin lengkap.

“Hanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan mengikuti pengajian secara hibrid di kampus,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berkata, arahan berkenaan terpakai kepada semua termasuk universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti seperti termaktub dalam SOP yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Amir berkata, mahasiswa yang masih belum mendapat janji temu vaksin Covid-19 segera mendapatkannya di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) secara ‘walk-in’.

Beliau berkata ia bagi menyemarakkan usaha semua pihak mewujudkan persekitaran kampus yang selamat apabila kampus dijangka mula melaksanakan pengajian secara hibrid pada Oktober ini.

“MPPK berpendapat bahawa syarat lengkap dua dos adalah bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi dan hasrat mahasiswa sendiri yang mahukan satu persekitaran yang selamat di kampus,” katanya.

Namun, katanya, kumpulan mahasiswa yang enggan atau menolak vaksin tanpa alasan kukuh, mereka wajar tidak dibenarkan kembali ke kampus demi memelihara gelembung kampus yang selamat daripada ancaman pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.