
Katanya, pembukaan semula sekolah akan menggunakan kaedah penggiliran secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50% daripada jumlah keseluruhan.
Ini bermakna, setiap kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu secara bersemuka serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), yang bergilir-gilir setiap minggu.
“Pelajar yang belajar dari rumah akan dimaklumkan topik yang mereka perlu pelajari dan diberikan bahan sokongan sedia ada, seperti di YouTube dan DidikTV.
“Selepas seminggu, mereka yang menghadiri kelas fizikal akan menjalani PdPR. Penggiliran ini akan diteruskan sehingga tamat penggal persekolahan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, bagi sekolah di negeri Fasa 1 dan 2 yang akan terus ditutup, murid perlu menghadiri sesi PdPR.
Ketika ini, Kedah dan Johor masih di bawah Fasa 1 PPN, manakala Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah serta Melaka di bawah Fasa 2.
Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak sudah beralih ke Fasa 3, dengan hanya Labuan di bawah Fasa 4.
Sekolah pada asalnya dijadualkan dibuka semula 1 Sept lalu, tetapi Kementerian Pendidikan menangguhkannya kepada 3 Okt susulan penilaian kesihatan dan risiko.
Baru-baru ini, pelbagai pihak menggesa pembukaan semula sekolah ditangguhkan memandangkan jumlah kes Covid-19 masih tinggi dan hanya berbaki kira-kira dua bulan sebelum sekolah ditutup semula bagi cuti penggal ketiga.
Radzi berkata, beberapa pengecualian diberikan kepada sekolah di negeri bawah Fasa 2 PPN.
Katanya, pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama seperti SPM, STPM, O Level, serta pelajar di sekolah keperluan khas, boleh menghadiri kelas tanpa penggiliran untuk semua fasa PPN.
Beliau berkata, pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) di negeri bawah Fasa 1 dan 2 PPN akan terus melaksanakan sesi PdPR, manakala kehadiran pelajar IPG di negeri Fasa 3 dan 4 dilakukan secara hibrid, sama ada bersemuka atau PdPR.
Katanya, beberapa SOP ditetapkan untuk sekolah di bawah Fasa 3 dan 4 yang akan melaksanakan penggiliran mingguan.
“Perlu ada meja kosong antara setiap pelajar untuk memastikan penjarakan fizikal dan usaha menambah baik pengudaraan seperti tingkap dan kipas siling dibuka digalakkan.
“Pelajar juga wajib memakai pelitup muka sepanjang masa dan pelitup muka berganda digalakkan.”
Ketika waktu rehat, beliau berkata, pelajar akan makan di dalam kelas di bawah pengawasan guru, manakala mereka yang berada dalam kes berhawa dingin akan makan di kawasan terbuka.
Radzi berkata, kelas pendidikan jasmani dibenarkan, tetapi aktiviti kokurikulum masih dilarang.
Katanya, murid yang bergejala tidak dibenarkan ke sekolah dan jika mereka menunjukkan simptom selepas tiba di sekolah, mereka akan menjalani ujian saringan RTK-Ag di sekolah.
Pelajar sekolah berasrama akan menjalani tiga kali ujian saringan Covid-19 dalam usaha mewujudkan gelembung selamat di sekolah.
“Sebelum masuk ke asrama, pelajar perlu menjalani ujian saringan pertama Covid-19, diikuti ujian saringan kedua pada hari keenam berada di asrama dan ujian seterusnya pada hari ke-14.”
Katanya, pengopersian sekolah bagi negeri yang beralih fasa akan dilakukan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa.
Pilihan ibu bapa
Radzi berkata, ibu bapa dan penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah mulai 3 Okt ini, tetapi mereka perlu menulis surat kepada sekolah bagi menjelaskan ketidakhadiran itu.
Beliau berkata, ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai kesalahan disiplin dan tiada surat amaran akan dikeluarkan.
“Perkara itu akan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini,” katanya sambil menambah pelajar terbabit bagaimanapun perlu meneruskan sesi PdPR.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan membuat penilaian risiko bagi menentukan status operasi sekolah, jika terdapat kes Covid-19 di sekolah.
“PKD akan buat ketetapan apakah tindakan seterusnya,” katanya sambil memaklumkan guru dan pihak sekolah akan diberi panduan menguruskan situasi, apabila terdapat jangkitan Covid-19.