
“Penderitaan rakyat perlu diutamakan,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataan sebagai respons terhadap pembaharuan yang ditawarkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
“Mengetepikan kepentingan politik untuk mengambil pendekatan bipartisan bukanlah mudah. Tetapi, kita perlu berani berusaha demi menyelamatkan bukan sahaja anak muda, tetapi juga masa depan anak muda negara.”
Awal minggu ini, Ismail mencadangkan beberapa pembaharuan institusi, termasuk penggal Perdana Menteri dihadkan kepada 10 tahun, pembentangan rang undang-undang antilompat parti dan segera menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun.
“Meskipun adanya ketidakpercayaan sama ada janji-janji reformasi tersebut akan ditunaikan, tawaran reformasi oleh Ismail perlu dipertimbangkan dengan syarat ia memiliki garis masa pelaksanaan yang ditetapkan dan disertai dengan pembaharuan dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam,” katanya.
Lim berkata, ia bukan sahaja terhad kepada Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM45 bilion dan pengecualian faedah bagi moratorium pinjaman bank atau Pelan Reset COVID-19 Negara, yang diminta pembangkang sebelum ini.
Tambahan, katanya, perlu ada pendekatan keseluruhan masyarakat terhadap reformasi dalam politik, ekonomi dan penjagaan kesihatan awam dengan fokus bersama yang melibatkan masyarakat sivil.
Komen Lim menyusul sehari selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dianggotainya, bersetuju secara dasar untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan bagi menyokong cadangan pembaharuan dikemukakan Ismail.
Majlis Presiden PH dijangka bermesyuarat lagi hari ini untuk membincangkan cadangan berkenaan lebih lanjut, menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Sementara itu, Lim berkata, DAP mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebagai penyelaras Covid-19 antara kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan pusat.
Katanya, ini perlu sebagai usaha bersama bagi membendung lonjakan jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang yang mengakibatkan negeri itu mencatatkan rekod jangkitan, kematian, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan per kapita tertinggi di Malaysia.
“Sejak sekian lama, Pulau Pinang telah gagal menyelesaikan atau mengatasi peningkatan jangkitan dan kematian.
“Walaupun barisan hadapan melakukan kerja luar biasa, tetapi mereka tidak dapat mengatasi kemarahan rakyat yang semakin meningkat kerana sumber dan tenaga kerja tidak mencukupi.
“Rasa tidak puas hati rakyat juga secara tidak adil merebak kepada kerajaan Pulau Pinang, khususnya EXCO Kesihatan Negeri, kerana dilihat tidak berdaya melakukan sesuatu ketika rakyat Pulau Pinang menderita dan meninggal dunia tanpa mendapat sebarang bantuan daripada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), tiada jawapan untuk talian penting, tiada ambulans yang tiba ketika dipanggil dan bilangan katil ICU tidak mencukupi.”