
Masjid Putra berkata segala tindakan pihaknya dibuat berdasarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.
“Apabila kapasiti jemaah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid.
“Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di Masjid Putra ditetapkan seramai 300 orang.
“Daripada jumlah itu, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang mendaftar lebih awal,” katanya dalam kenyataan.
Pihak Masjid Putra juga memberitahu masjid itu menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti ditetapkan sejak pukul 11 pagi bagi menunaikan solat Jumaat.
Katanya, pihak masjid sudah memaklumkan dan menasihatkan jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.
“Bagaimanapun, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.
Justeru, kualiti pengurusan akan dipertingkatkan demi memastikan para jemaah gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi. Sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra,” katanya.
Semalam, seorang warganet berkongsi rakaman video yang mempertikaikan tindakan pihak Masjid Putra kerana membenarkan individu tertentu masuk menunaikan solat Jumaat ketika orang lain tidak dibenarkan masuk.
Video itu kemudian tular di media sosial yang kemudiannya menerima reaksi pelbagai daripada warganet.