
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba berkata, pihaknya turut mengenal pasti tiga faktor yang menyebabkan masalah itu berlaku.
“Faktor pertama yang menyumbang kepada perkara itu ialah apabila petugas menyuntik ratusan ribu penerima vaksin setiap hari. Ada nombor siri vaksin tidak dikemas kini di akhir proses oleh mereka di stesen vaksinasi akhir.
“Selain itu, ada yang masih tidak menerima sijil vaksinasi kerana apabila mereka mengisi pendaftaran di MySejahtera, terdapat kesilapan maklumat seperti ejaan nama berbeza atau nombor kad pengenalan tidak lengkap berbanding data di Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
Beliau berkata, faktor ketiga disebabkan data yang diterima daripada program vaksinasi di luar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Contohnya yang dikendalikan oleh kerajaan negeri, pihak swasta, pejabat kedutaan dan penerima vaksin dari luar negara, data-data itu tidak melalui saluran sistem PICK.
“Oleh itu, data-data berkenaan perlu disahkan dan dikemas kini terlebih dahulu, menyebabkan sijil digital mereka tidak dapat dikeluarkan serta-merta.”
Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilapor mengarahkan pasukan MySejahtera menyelesaikan isu sijil digital di aplikasi MySejahtera dalam tempoh seminggu bagi individu yang lengkap divaksin.
Ia susulan kebimbangan orang ramai yang belum mendapat sijil digital vaksinasi mereka, meskipun sudah melengkapkan pengambilan dos vaksin Covid-19.
Sementara itu, merujuk perkembangan bekalan vaksin Covid-19 di Kelantan, Adham berkata, negeri itu akan menerima bekalan 1,248,900 juta dos vaksin sepanjang bulan ini.
“Selain itu, 18,000 dos vaksin CanSino akan dibekalkan ke kawasan pedalaman, terutamanya di Gua Musang dan Kuala Krai bagi memenuhi permintaan masyarakat di luar bandar.
“Mengikut data yang diperoleh, ia melibatkan 7,000 masyarakat Orang Asli dan dos selebihnya akan diberikan kepada penduduk di pedalaman.”
Katanya, menerusi bekalan vaksin itu, lebih banyak lagi program vaksinasi secara jumpa terus atau program capaian (outreach) akan dilakukan untuk menjejaki individu yang sebelum ini mungkin tercicir daripada pendaftaran sistem MySejahtera, secara bersemuka, dalam talian dan sebagainya.