NGO, rakyat digesa jangan puas hati pembatalan EIA projek bina 3 pulau

NGO, rakyat digesa jangan puas hati pembatalan EIA projek bina 3 pulau

Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang berkata, isu fundamental berkaitan impak sosioekonomi serta alam sekitar belum diperbahaskan.

Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang berkata, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar memutuskan untuk membenarkan rayuan nelayan yang mahu membatalkan PSI berdasarkan faktor ketidaktepatan atau kesilapan teknikal.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR) meminta NGO dan rakyat tidak berpuas hati dengan pembatalan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) kerana keputusan itu dibuat berdasarkan faktor ketidaktepatan atau kesilapan teknikal.

Pengerusi PEMIKIR, Muhamad Farid Saad berkata, perkara itu boleh diperbetulkan dan isu fundamental berkaitan impak sosioekonomi serta alam sekitar belum diperbahaskan.

“PEMIKIR berpandangan isu asas penentangan itu perlu diketengahkan supaya kementerian dan kerajaan pusat dapat menilai semua faktor yang dibantah sebelum membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob mengetepikan kelulusan EIA bagi projek itu, susulan rayuan difailkan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 di bawah Seksyen 35 (1)(e) Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Pelaksanaan PSI, yang dahulunya dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), seluas 17km persegi itu membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700ha di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Projek itu bertujuan membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion, yang terdiri daripada projek LRT dan beberapa lebuh raya.

Farid meminta kerajaan Pulau Pinang melihat semula hasrat awal membaiki dan memajukan sistem pengangkutan awam, bukannya membina tiga pulau yang jauh tersasar daripada niat mereka.

Beliau berkata, rakyat dan NGO yang prihatin akan terus membantah, walaupun kerajaan negeri berhasrat memfailkan rayuan bagi meneruskan projek itu.

Katanya, kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan mereka sebagai pentadbir yang memegang amanah melaksanakan kerja mengikut undang-undang dan peraturan dalam sesebuah projek berimpak besar kepada rakyat serta negeri itu.

“Dalam keghairahan membangunkan negeri, menjadi tanggungjawab tersurat dan tersirat mereka untuk mendengar keluhan, rintihan dan lebih-lebih lagi suara serta cadangan NGO yang mahukan terbaik untuk negeri ini.

“Setiap apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan, pasti ada hak rakyat di dalamnya.”

Beliau turut mempersoalkan jika pihak berkuasa Pulau Pinang meneruskan permohonan EIA kerana tidak tahu hanya Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 yang membenarkan tebus guna untuk tambakan laut PSI, bukannya Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.