
Dalam sidang media bersama dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Kesihatan itu berkata, ini telah dibincangkan dengan Chow dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Sebagai sebahagian daripada usaha bipartisan untuk menangani wabak di Pulau Pinang, kami rasa kami perlu koordinasi lebih baik antara kerajaan pusat dan negeri. Saya selalu berhubung dengan Ketua Menteri, seperti di WhatsApp.
“Tetapi setelah berbincang dengan Ketua Menteri dan Lim, kami memutuskan bahawa kami perlu seorang penyelaras, seorang Ahli Parlimen persekutuan yang sentiasa dapat berhubung dengan saya, seperti yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming di Selangor dalam Operasi Lonjakan Kapasiti,” katanya.
Selain Sim dan Chow, beliau juga akan berhubung dengan EXCO Kesihatan Pulau Pinang Norlela Ariffin, tambahnya.
Menzahirkan keprihatinannya mengenai situasi yang semakin buruk di Pulau Pinang, Khairy berkata, KKM akan menumpukan usaha untuk memberi vaksin kepada baki 10% orang dewasa yang masih belum diberi dos pertama. Semua orang dewasa akan lengkap vaksinasi menjelang akhir bulan depan.
Dengan pemberian vaksin secara “walk-in” tersedia buat rakyat Malaysia sejak 8 Sept dan melihat lebih 5,000 orang mendapatkan vaksin melalui cara ini dalam tempoh hanya tiga hari, Khairy berkata, pusat pemberian vaksin (PPV) tertentu akan turut mempunyai pilihan ini bagi warga asing setelah cukup penduduk tempatan mendapatkannya.
Remaja di negeri ini juga akan mula mendapat vaksin dalam tempoh dua minggu, katanya. Ini kebanyakannya akan dilakukan di sekolah.
“KKM akan pergi ke sekolah mereka dan pelajar-pelajar akan dipanggil mengikut keutamaan yang ditetapkan,” katanya.
Khairy berkata, 150,000 remaja di Pulau Pinang dan tiga juta di seluruh negara akan diberi vaksin.
Walaupun ada yang mungkin tidak mendapat vaksin menjelang pembukaan sekolah pada Oktober, beliau berkata, mereka akan menerimanya sebelum penggal persekolahan baharu tahun depan.
“Pembukaan sekolah tahun ini akan dibuat secara berperingkat,” kata Khairy.
“Esok, Menteri Pendidikan (Radzi Jidin) akan mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat bagi tahun ini. Kami akan mengagihkan vaksin sewajarnya.”
Beliau berharap semua remaja akan menerima vaksin bagi pembukaan sekolah pada 2022.
Khairy juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak bawah usia 12 tahun untuk berhati-hati dan memastikan mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana mereka belum boleh menerima vaksin.
Katanya, kematian kanak-kanak telah dicatatkan dalam kes Covid-19 Kategori 4 dan 5.