
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, kenyataan terbuka pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) adalah serius dan berat, malah imej SPRM sebagai agensi bebas, adil dan profesional tercalar.
“Kes itu telah ditarik balik. Ehsanuddin pernah bertugas sebagai Pegawai Khas Najib (Razak). Sebab itu dakwaan LPPR amat merunsingkan,” katanya di Facebook
Pada Rabu, Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang berkata, terdapat elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan ketika itu oleh peguam negara.
Puad berkata, pendakwaan kes Ehsanuddin dilakukan ketika Latheefa Koya menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, dan Latheefa adalah lantikan politik era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mengingatkan bahawa Latheefa juga adalah individu yang bertanggungjawab membocorkan sembilan rakaman audio perbualan Najib Razak dengan putera Emiriah Arab Bersatu tanpa alasan kukuh dan dianggap bermotifkan politik semata-mata.
“Justeru wajar Latheefa Koya disiasat. Diharap perdana menteri juga mesti segerakan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) terhadap Tommy Thomas. Ia amat berkaitan.
“Terlalu banyak misteri. Kes Ehsanuddin dan kritikan keras Abu Zahar (LPPR) menguatkan lagi kesangsian terhadap kes-kes pendakwaan semasa Mahathir menjadi perdana menteri,” kata Puad.