
Pusat penyelidikan itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia mengkhususkan R&D kesenian, reka bentuk dan kaedah pemasaran produk berasaskan emas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama strategik bersama Ko-Makmur turut menumpukan usaha membantu usahawan baharu dalam bidang perniagaan emas berkembang ke peringkat global.
“Langkah pertama untuk menembusi pasaran luar (global) ialah mendapat pengiktirafan atau pengesahan kualiti produk yang dihasilkan.
“Jadi di sinilah peranan SIRIM sebagai agensi yang diberi mandat oleh kerajaan bagi mengiktiraf produk dihasilkan untuk pasaran tempatan dan luar.
“Maknanya selepas ini, semua produk dikeluarkan Ko-Makmur melalui rangkaian kedai emas milik mereka, Makmur Gold akan menerima cop pengiktirafan SIRIM,” katanya selepas menemui Pengerusi Ko-Makmur, Hishamuddin Abdullah di pejabat SIRIM Pahang semalam.
Sabirin berkata, potensi perniagaan berasaskan emas sangat besar dan SIRIM sedia membantu serta membimbing Ko-Makmur dan Makmur Gold meneroka pasaran luar negara.
“Industri ini mempunyai nilai pasaran lebih RM10 bilion setahun dan nilai ini adalah ketika seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19. Jadi, bayangkan kalau tidak ada (Covid-19), nilainya (pasaran) mungkin mencecah antara RM20 hingga RM30 bilion.
“Menjadi satu kerugian kepada Makmur Gold jika mereka tidak merebut peluang ini dan memasuki pasaran global, memandangkan mereka sudah mempunyai produk seperti bar emas, wafer emas dan pelbagai lagi produk barangan kemas lain,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, objektif utama Ko-Makmur menjadi rakan strategik SIRIM bertujuan membantu lebih ramai usahawan menceburi sektor perniagaan berasaskan emas.
“Sebab itulah kami bersama SIRIM mewujudkan akademi kecemerlangan emas dan pusat R&D di sini.
“Kita mempunyai perancangan jangka panjang untuk memasuki pasaran Timur Tengah dan China, jadi sebagai persediaan, Makmur Gold harus mendapat pengiktirafan kualiti daripada SIRIM dan apabila ada pengiktirafan, mudahlah untuk kita meneroka pasaran global.”
Difahamkan, pusat R&D dan akademi kecemerlangan yang dalam proses ubah suai itu membabitkan peruntukan kira-kira RM3 juta dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.