PH gesa segera turunkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19

PH gesa segera turunkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19

Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH mahu harga itu diturunkan daripada RM19.90 kepada RM15 menjelang akhir bulan ini dan di bawah RM10 pada akhir Oktober.

Pakatan Harapan berkata, harga siling kit ujian kendiri Covid-19 semasa RM19.90 masih tinggi dan membebankan rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menurunkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 daripada RM19.90 kepada RM15 menjelang akhir bulan ini dan di bawah RM10 pada akhir Oktober.

“Harga yang sewajarnya untuk kita pada masa depan ialah sekitar RM5 dan ia wajar diperkenalkan pada hujung November,” kata Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH dalam kenyataan.

Ia menyifatkan pengumuman kerajaan akan menurunkan harga siling kit ujian itu menjelang akhir tahun ini sebagai tidak prihatin terhadap rakyat dan bercanggah semangat “Keluarga Malaysia”.

Ini kerana, katanya, harga siling semasa RM19.90 masih tinggi dan membebankan rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40.

Menurutnya, kit ujian kendiri itu hanya boleh digunakan seorang individu sekali.

“Ia tidak dapat diulang pakai, dengan itu, nilainya akan hangus dalam sekelip mata.

“Keperluan dan permintaan untuk kit ujian kendiri ini amat tinggi pada masa kini dan ia akan terus meningkat kerana ia merupakan kaedah paling cepat dan mudah untuk menyaring seseorang sama ada mereka dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.”

Pada 2 Sept lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 diturunkan kepada RM19.90 seunit.

Khairy berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.