
Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, Jemaah Menteri mempersetujui melakukan beberapa transformasi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, Rang Undang-undang Antilompat Parti, pelaksanaan Undi18, dan keseimbangan keanggotaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Charles Santiago dari DAP menyifatkan tawaran itu seiring dengan apa diinginkan pembangkang, namun menegaskan apa yang penting adalah perincian butirannya.
“Elok jika ada garis masa untuk pelaksanaan pembaharuan ini supaya dapat dipangkah daripada senarai kita apabila telah dilaksanakan,” kata Ahli Parlimen Klang itu kepada FMT.
Menurutnya, Ahli-ahli Parlimen dan masyarakat sivil perlu mendesak kerajaan supaya melaksanakan transformasi berkenaan, selain memaklumkan bila ia akan dibuat.
“Banyak yang perlu dilakukan kerajaan, terutama jika mahu melaksanakannya sebelum pilihan raya akan datang yang mungkin akan diadakan seawal pertengahan 2022.”
William Leong dari PKR berkata, pembaharuan dicadangkan itu sesuatu yang biasa dalam demokrasi progresif, namun melihat persamaannya dengan sebahagian manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Dengan bersetuju untuk melaksanakan transformasi ini, kerajaan Muhyiddin dan Ismail Sabri seperti mengesahkan bahawa PH memang di landasan benar selama ini.”
Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail juga menyuarakan keraguan dengan tawaran Perdana Menteri itu.
Beliau mempertikaikan kenapa Ismail tidak memulakan transformasi Parlimen itu dengan undian percaya.
“Jika beliau melakukannya, sekurang-kurangnya usahanya akan nampak mempunyai kesahihan,” katanya.
Berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri, beliau berkata jawatan berkenaan di negara ini berbeza dari AS, di mana Presiden dilantik oleh rakyat dan badan perwakilan pemilih.
“Negara Komanwel mana yang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menterinya?” soal beliau.
Tawfik juga tidak pasti sama ada pembangkang akan menerima transformasi berkenaan yang secara asasnya telah dicadangkan Muhyiddin, malah ditolak.
Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) mengalu-alukan pengumuman berkenaan, dan akan memantau perkembangannya.
Pengarah Eksekutifnya Cynthia Gabriel menyuarakan harapan masyarakat sivil akan diberi peluang terlibat dalam pembentukan dasar.
“Ada antara kami yang telah membuat kajian mendalam berhubung pembaharuan berkenaan,” katanya.