‘Imuniti kelompok’ mustahil dicapai, kata pakar

‘Imuniti kelompok’ mustahil dicapai, kata pakar

Ketua kluster infektomik USM Muhamad Amir Yunus berkata, istilah yang tepat untuk digunakan kini adalah 'jalan menuju normaliti'.

Kadar vaksinasi yang tidak sekata di seluruh dunia akan menyukarkan pembasmian virus Covid-19, kata Muhamad Amir Yunus dari USM. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Para pakar meminta pegawai kerajaan supaya mengelak daripada menggunakan istilah “imuniti kelompok” kerana dalam situasi semasa, ia mengelirukan.

Kata mereka, dengan jangkaan kewujudan varian Covid-19 yang lebih menular dan terdapat segelintir orang yang enggan menerima vaksin, imuniti kelompok hampir mustahil dicapai.

Imuniti kelompok tercapai apabila sebahagian besar sesuatu komuniti menjadi kebal terhadap sesuatu penyakit.

Ketua Kluster Infektomik Universiti Sains Malaysia (USM) Muhamad Amir Yunus berkata, istilah yang tepat untuk digunakan kini adalah “jalan menuju normaliti”.

Muhamad Amir Yunus.

Katanya, terdapat beberapa faktor yang menjadikan imuniti kelompok mustahil buat masa ini, termasuk kerana virus SARS-CoV-2 yang berubah-ubah yang mengakibatkan Covid-19 serta kelancaran proses pemberian vaksin yang tidak sekata di seluruh dunia.

“Beberapa negara mempunyai kadar vaksinasi yang sangat tinggi dan ada yang sangat rendah. Ini akan memberi impak kepada sama ada kita dapat menghapuskan virus dan keluar daripada wabak (atau tidak),” katanya kepada FMT.

“Lebih-lebih lagi, vaksin yang diberikan sekarang hanya untuk orang dewasa dan remaja. Kita tidak tahu bagaimana kanak-kanak di sekolah rendah dapat menerima vaksin dan terlindung daripada virus.

“Selain itu, tentangan kuat daripada golongan antivaksin dan mereka yang ragu-ragu terhadap vaksin akan tambah menyulitkan usaha mencapai imuniti kelompok.”

Rakan sekerja Amir di USM, Kumitaa Theva Das berkata, imuniti kelompok adalah istilah yang salah kerana mereka yang menerima vaksin tidak dapat mengekalkan tahap imun mereka selepas enam bulan.

Kumitaa Theva Das.

Katanya, ini dan faktor-faktor lain akan menjadikan imuniti kelompok mustahil dicapai, selain menambah bahawa bilangan kes kekal tinggi di tempat-tempat di mana kadar vaksinasi adalah tinggi seperti Israel, Singapura dan Sarawak.

“Varian Delta telah mengubah banyak perkara, termasuk cara kita menangani virus ini,” kata Kumitaa.

“Walaupun ada cakap-cakap mengenai Covid-19 menjadi endemik, beberapa SOP (prosedur operasi standard) mesti dikekalkan dan kita mungkin memerlukan suntikan vaksin setiap tahun untuk mengelakkan kesan-kesan paling buruk.”

Penyakit bermusim

Vinod Balasubramaniam dari Monash University Malaysia berkata, Covid-19 adalah sesuatu yang harus dihadapi dalam jangka masa panjang.

Vinod Balasubramaniam.

Ini kerana mereka yang telah menerima vaksin berterusan melanggar SOP sekali gus meningkatkan peluang dijangkiti virus, katanya.

“Itu sahaja menjadikan imuniti kelompok mustahil dicapai,” katanya.

Vinod berkata, ketiadaan data konklusif mengenai imuniti yang semakin lemah, selain masalah logistik dan perolehan pada masa hadapan juga akan menjadikan virus ini mustahil untuk dibasmi.

Katanya, Covid-19 akan menjadi penyakit bermusim bersama-sama koronavirus manusia lain yang sudah tersebar dan yang juga menyebabkan jangkitan saluran nafas atas.

“Dijangkiti Covid-19 mungkin tidak akan memberi imuniti sepanjang hidup. Namun, jika anda dijangkiti lagi, jangkitan kedua mungkin kurang serius,” katanya.

“Kita mungkin memerlukan dos-dos penggalak untuk (mengelak jangkitan) varian dan mencipta memori imunologi yang optimum terhadap penyakit ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.