
Mohamed Kazali Salleh, 51, memberikan sekitar SGD1,000 (kira-kira RM3,087) kepada Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, juga dikenali sebagai Akel, iaitu seorang anggota IS terkenal, menurut dokumen mahkamah.
Laporan media sebelum ini menyebut Akel adalah bekas pemain dram kumpulan Ukays yang menyertai IS pada 2014 sebelum disahkan maut dalam serangan udara Rusia di Syria pada 2019.
Menurut laporan Berita Mediacorp, Mohamed Kazali mengaku bersalah atas dua tuduhan bawah Akta (Sekatan Pembiayaan) Pengganasan. Satu lagi tuduhan di bawah akta sama dipertimbangkan ketika menjatuhi hukuman.
Ini adalah pendakwaan pertama di Singapura bagi kesalahan membiayai perjalanan individu ke negara asing untuk menjalani latihan militan.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Edwin Soh meminta Mohamed Kazali dipenjara selama 46 bulan kerana melakukan kesalahan tersebut “dengan sengaja” dan tindakannya “menimbulkan keresahan masyarakat”.
Mohamed Kazali “menyedari sepenuhnya” bahawa wang itu akan digunakan untuk “tujuan jahat”, kata Edwin.
Semasa kesalahan itu dibuat, Mohamed Kazali ialah seorang ahli perniagaan yang beroperasi dari Johor. Mahkamah diberitahu, Mohamed Kazali berkawan dengan Akel di Kuala Lumpur pada 2009.
Semasa perjalanan itu, Akel memberitahu Mohamed Kazali tentang pandangan agamanya dan kedua-dua lelaki itu saling berhubungan selepas pertemuan tersebut, menurut dokumen mahkamah.
Mahkamah juga diberitahu dari 2010 hingga 2013, Mohamed Kazali bertemu Akel “banyak kali” dan mereka menghadiri syarahan agama serta rapat politik di Malaysia bersama.
Semasa pertemuan itu, Akel berkongsi dengan Mohamed Kazali ideologi pelampaunya. Ini termasuk “minat mendalam” Akel untuk menjadi seorang anggota dalam “tentera Muslim”, menurut dokumen mahkamah.
“Tertuduh bersetuju dan menyokong ideologi pelampau Akel,” menurut dokumen mahkamah.
Akel minta wang
Pada pertengahan 2013, Akel memberitahu Mohamed Kazali dia mahu melakukan perjalanan ke Syria bagi tujuan tersebut. Akel meminta wang daripada Mohamed Kazali untuk membeli tiket penerbangan ke Turki dan dari sana dia akan menyambung perjalanan ke Syria.
Pada hujung tahun itu, Mohamed Kazali membawa Akel ke sebuah agensi pelancongan dan menyerahkan RM1,000 untuk membeli tiket ke Turki.
Pada Januari 2014, Akel menghubungi Mohamed Kazali menerusi WhatsApp untuk meminta lebih banyak wang bagi perjalanannya ke Syria.
Mohamed Kazali kemudian menyuruh anak perempuannya mengirimkan USD351.75 (sekitar lebih RM1,100 ketika itu) melalui Western Union kepada kenalan Akel di Turki.
Mohamed Kazali memberitahu anak perempuannya wang itu adalah untuk membeli permaidani.
Mahkamah diberitahu Akel menyertai IS pada 2014. Dia menyandang jawatan kepimpinan dalam kumpulan itu tiga tahun kemudian.
“Siasatan mendedahkan dia adalah anggota IS warga Malaysia paling mapan di Syria dan secara aktif merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai IS di Syria,” menurut dokumen mahkamah.
Akel juga dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai individu bertanggungjawab ke atas plot serangan berkaitan IS di Malaysia pada 2019.
Plot itu melibatkan arahan kepada dua penyokong IS warga Malaysia supaya melancarkan serangan ke atas rumah ibadat serta balai polis di Malaysia pada awal 2019. Plot itu bagaimanapun berjaya dileburkan.
Mahkamah diberitahu Akel dibunuh dalam satu serangan udara oleh Rusia di Syria pada 2019
Mohamed Kazali diberkas oleh Cawangan Khas Malaysia pada 19 Disember 2018 dan dihantar pulang ke Singapura sebelum dikenakan perintah tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISD) negara itu bagi kegiatannya yang menyokong IS.