Tubuh badan bebas untuk buat analisis kewangan awam, saran ahli ekonomi

Tubuh badan bebas untuk buat analisis kewangan awam, saran ahli ekonomi

Ahli ekonomi berkata Parlimen dapat menggunakan maklumat ini untuk meneliti dasar kerajaan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dilaporkan akan mengusulkan untuk menaikkan had hutang berkanun yang kini sebanyak 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 65%. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan agar melantik sebuah badan bebas untuk membuat analisis kewangan awam bagi Parlimen dengan berkata, ini sangat penting jika had hutang berkanun hendak dinaikkan.

“Kita mesti mempunyai badan bebas untuk meramal dan menganalisis dasar fiskal dan impaknya,” kata Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

“Parlimen kemudian dapat menggunakannya untuk meneliti dasar kerajaan. Tanpanya, kita seolah-olah orang buta memimpin si buta.”

Williams mengulas laporan bahawa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz akan mengusulkan untuk menaikkan had hutang berkanun yang kini sebanyak 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 65%.

Geoffrey Williams.

Beliau berkata, Pejabat Pengurusan Hutang (DMO) Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada Mei 2019 untuk menyemak semula hutang dan liabiliti kerajaan, tidak merangkumi implikasi dan tafsiran alternatif mengenai isu belanjawan dan hutang.

DMO kini dinamakan semula sebagai Pejabat Dasar Fiskal dan Pengurusan Hutang. Fungsinya yang lain termasuk melaksanakan program pinjaman kerajaan persekutuan untuk memenuhi keperluan defisit fiskal dan mengurus serta memantau hutang kerajaan.

Williams berkata, cadangan Zafrul bermaksud sudah tiba masanya untuk membuka kembali perbincangan mengenai penubuhan Pejabat Tanggungjawab Belanjawan (OBR) bebas, yang disarankannya pada 2018.

OBR di Britain ditubuhkan pada 2010 susulan cadangan Williams ketika beliau menjadi anggota jawatankuasa dasar ekonomi Parti Konservatif. Ia menyediakan analisis bebas mengenai kewangan awam United Kingdom dan menjadi salah satu institusi fiskal bebas (IFI) di dunia.

Williams berkata, OBR ditubuhkan selepas pilihan raya 2010 Britain ketika wujud keperluan untuk maklumat belanjawan yang “bebas, diyakini dan telus” bagi mencegah pertikaian dalam kalangan anggota kerajaan.

Tabung Kewangan Antarabangsa menganggarkan terdapat hampir 40 IFI di seluruh dunia pada 2016 dengan semua negara Eurozone pada masa ini dikehendaki memiliki badan tersebut.

Walaupun institusi yang memainkan peranan ini sudah wujud selama bertahun-tahun di beberapa negara, terdapat peningkatan mendadak dalam bilangannya susulan krisis kewangan global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.