
Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin memberitahu Parlimen Ogos tahun lalu bahawa lapangan terbang Malaysia tidak mempunyai teknologi untuk mengimbas pornografi kanak-kanak disebabkan kekurangan dana.
“Belanjawan 2021 untuk Kementerian Multimedia dan Komunikasi tidak mempunyai bajet tambahan khusus untuk pelaburan pada skala ini yang dapat memanfaatkan semua kanak-kanak di Malaysia,” katanya.
“Apabila negara seperti Malaysia mengutamakan serta melabur dalam teknologi bagi memerangi semua bentuk keganasan terhadap kanak-kanak termasuk keganasan seksual, ia memberi mesej terang kepada rakan ASEAN kita dan seluruh dunia bahawa negara ini serius dalam memerangi pemangsa seksual.”
Kasthuri mengulas siasatan dua tahun oleh pihak berkuasa Australia yang membawa kepada penangkapan Alladin Lanim, 40, yang didakwa di Kuching pada 17 Ogos kerana penderaan seksual puluhan kanak-kanak di negeri itu.
Dia dihukum 48 tahun penjara serta 15 sebatan selepas mengaku salah terhadap 18 tuduhan.
Kasthuri berkata, Alladin berjaya ditangkap hasil pemantauan pergerakannya di “dark web” oleh pasukan penguatkuasaan Australia, namun aktivitinya tidak dihidu polis Malaysia selama lebih sedekad. Alladin dilaporkan mengongsikan bahan memaparkan penderaan seksual kanak-kanak di “dark web” sejak 2007.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berharap, penangkapan Alladin itu membuka mata kerajaan supaya memandang serius jenayah berkaitan kanak-kanak, seterusnya mengukuhkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak di peringkat persekutuan.
“Ini termasuk pembiayaan untuk membekalkan pegawai penguat kuasa dengan kepakaran teknikal serta latihan yang perlu bagi mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengeksploitasi serta mendera kanak-kanak secara seksual,” katanya semalam.
Pada 2016 seorang lagi pemangsa kanak-kanak, Richard Huckle, dipenjara di London kerana pelbagai penderaan dan kesalahan seksual kanak-kanak di negara ini, juga hasil siasatan pihak berkuasa Australia.
Dia dijatuhi 25 hukuman penjara seumur hidup tetapi kemudian ditemui dibunuh dalam sel tahanannya.