
Pusat berkenaan adalah di Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Daerah Kinabatangan yang dijadikan PKRC sejak wabak Covid-19 melanda daerah terbabit.
Munira Ladis, 35, berkata, bahagian wanita di PKRC terbabit langsung tidak mempunyai katil dan para pesakit hanya diberikan tilam di atas lantai.
Katanya, keadaan itu dilihat menyukarkan dan menyebabkan ketidakselesaan kepada penghuni di PKRC berkenaan terutama bagi mereka yang memerlukan kemudahan lebih baik.
Dia berkata, antara pengalaman yang dilihatnya termasuk seorang ibu yang bersalin normal di hospital dan kemudiannya dihantar ke PKRC berkenaan sendirian tanpa anak yang baru dilahirkan, dibaringkan di atas tilam di lantai pusat terbabit.
“Ibu berusia lingkungan 50 hingga 60-an ini lumpuh dan positif Covid-19 selain mengalami pernafasan yang membimbangkan sementara anak lelaki yang menemankan ibu itu juga disediakan tilam di atas lantai.

“Bahagian wanita memang sudah tiada katil kerana semuanya telah rosak, tapi Alhamdulillah, masih ada kipas dan penghawa dingin untuk keselesaan pesakit wanita,” katanya kepada FMT.
Munira yang sebelum ini pernah dua kali dimasukkan ke PKRC berkenaan selepas didapati positif, iaitu pada 11 Feb dan 23 Ogos lalu berkata, pengalaman berada di situ sangat “menginsafkan”.
“Ini baru bahagian wanita, bahagian lelaki yang terletak di luar bangunan juga sangat menyedihkan dengan pesakit di situ disediakan tilam yang beralaskan ‘box plastic’ yang tidak rata selain berdindingkan kanvas dan beratapkan zink.
“Saya tahu sebab ahli keluarga saya yang turut didapati positif ditempatkan di situ. Boleh kamu bayangkan itu, panas dia dan nyamuk lagi pada sebelah malam,” katanya yang turut menambah jumlah pesakit lelaki yang semakin ramai menyebabkan mereka dipindahkan ke ruang terbuka di luar dewan.
Katanya, selain tiada tempat solat, hanya terdapat dua sahaja tandas yang boleh digunakan untuk mandi, manakala tiada sinki air disediakan di luar untuk mencuci tangan dan sebagainya.
“Para penghuni hanya mencuci pinggan mangkuk di dalam tandas yang juga digunakan sebagai tempat mandi,” katanya sambil menggesa pihak bertanggungjawab supaya membaik pulih atau menaik taraf PKRC tersebut terutama menyediakan katil untuk pesakit.
Dia yang sedih dengan keadaan di PKRC berkenaan turut mengambil inisiatif membeli sebuah katil besi untuk disumbangkan kepada pusat terbabit.
“Saya difahamkan ada seorang individu yang turut mendermakan katil selain sebuah meja lipat yang digunakan untuk menyimpan makanan serta pakaian yang dihantar oleh keluarga pesakit kerana kadang-kadang ia hanya diletakkan di lantai,” katanya.